Uncategorized

Hashim Mahu Pemain Harimau Malaya Lebih Berwaspada


Mohd Hashim ingatkan pemain Harimau Malaya lebih berhati-hati apabila bertemu Thailand pada Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 di Bukit Jalil, malam esok.

Bekas penyerang kebangsaan, Mohd Hashim Mustapha mahu pemain Harimau Malaya lebih berhati-hati apabila berdepan Thailand pada pertemuan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Mohd Hashim berkata, anak buah Tan Cheng Hoe perlu berwaspada agar tidak terperangkap dengan taktikal skuad Gajah Perang yang dijangka mempertaruhkan barisan terkuat mereka.

“Pada kempen Piala AFF Suzuki tahun lalu, Thailand tidak menurunkan barisan terbaik kerana ada beberapa pemain mereka terikat dengan komitmen bersama kelab masing-masing di Eropah dan Jepun.

“Namun kali ini situasi berbeza, mereka pasti menyenaraikan skuad terbaik untuk memburu kemenangan di sini (Kuala Lumpur) dan kita perlu menjangkakan aksi sukar pada perlawanan ini,” kata bekas pemain Kelantan itu.

Ketika ini, skuad negara menduduki tangga keempat peringkat kumpulan dengan mengumpul tiga mata selepas mengharungi tiga perlawanan.

Sementara Thailand yang dibimbing bekas jurulatih skuad Piala Dunia Jepun, Akira Nishino tampak unggul menerajui takhta dengan mengutip tujuh mata.

Dalam masa sama, bekas pemenang anugerah Kasut Emas Liga Perdana 1990, 1993 dan 1994 itu turut mengingatkan barisan pemain agar menguatkan tahap keyakinan ketika bertemu negara jiran itu.

“Kita perlu ingat bola sepak ini 11 (pemain) lawan 11 (pemain) jadi pemain kena tanam keyakinan tinggi untuk mengalahkan mana-mana pasukan termasuk Thailand sekali pun.

“Apapun dengan peningkatan corak permainan pasukan ketika ini ditambah semangat juang tinggi, saya yakin kita boleh beri saingan ke atas Thailand,” ujarnya yang kini mencecah usia 53 tahun.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: