Uncategorized

Syarikat Baharu Bakal Urus KUFC Secara Profesional


Kelantan United FC bakal diuruskan sebuah syarikat baharu sebagai persediaan beraksi dalam kancah Liga Premier musim depan.

Kredit foto : KUFC

Bakal beraksi dalam kancah liga profesional, Kelantan United FC mengorak langkah lebih awal dengan menubuhkan syarikat bagi menguruskan kelab berkenaan, musim depan.

Sebuah syarikat baharu, Kelantan United FC Sdn Bhd akan dipertanggungjawabkan mengendalikan operasi pentadbiran kelab itu dalam saingan Liga Malaysia.

Setiausaha Eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Ab Aziz berkata, persetujuan untuk menubuhkan syarikat itu dicapai dalam mesyuarat pengurusan pasukan tersebut, Ahad lalu.

“Mengambil kira saranan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) yang mahu melihat semua pasukan atau kelab bola sepak diurus tadbir secara profesional, kita bersetuju menubuhkan Kelantan United FC Sdn Bhd.

“Kita menyahut saranan ini kerana yakin ia dapat membantu melicinkan operasi kelab sekali gus boleh bersaing secara kompetitif dalam Liga Premier musim depan,” katanya.

Kelantan United FC bakal beraksi buat pertama kali dalam saingan Liga-M musim depan setelah dinobatkan juara Liga M3, baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, penubuhan syarikat baharu itu juga secara tidak langsung membantu KUFC menjana banyak perkara sekali gus memajukan sukan nombor satu di Kelantan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Mohd Zul Ikman turut memberitahu, pihaknya bersedia menyelesaikan urusan perlesenan kelab bagi memenuhi syarat bertanding dalam Liga Premier.

“Kita bersedia menyelesaikan urusan perlesenan dan buat permulaan akan bertemu dengan pihak FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) bagi mendapat gambaran lebih terperinci, minggu depan,” ujarnya lagi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading