Antarabangsa • Permotoran • Terkini

RCB Day Malaysia 2026 himpun 2,000 peserta dari enam negara


RCB dengan bangganya mengumumkan penganjuran julung kali RCB Day Malaysia 2026, sebuah acara bersejarah yang didedikasikan bagi menghargai dan mengiktiraf kesetiaan, semangat serta sokongan berterusan pengguna dan komuniti RCB.

Penganjuran sulung di Malaysia ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan RCB untuk terus mengukuhkan hubungan dengan pengguna dan komuniti RCB yang sentiasa menjadi sebahagian daripada perkembangan jenama ini.

Selama bertahun-tahun, RCB telah berkembang daripada sebuah jenama alat ganti prestasi motosikal yang dipercayai kepada sebuah komuniti yang menyatukan penunggang motosikal dengan minat yang sama terhadap dunia permotoran dan prestasi.

Acara ini memberi peluang kepada pengguna RCB dari seluruh rantau untuk berkumpul, berinteraksi dengan rakan peminat, menikmati pelbagai aktiviti menarik serta ganjaran eksklusif sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan mereka.

Acara ini akan berlangsung bersempena RCB Regional Summit 2026, yang menghimpunkan barisan Ikon Berpengaruh (KOL) terbaik dari enam negara utama iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan China.

Sidang kemuncak ini menyediakan platform unik yang menghubungkan pemimpin industri, pemain sektor automotif dan permotoran serta komuniti penunggang motosikal di bawah satu bumbung.

Dijangka menarik penyertaan seramai 2,000 peserta, RCB Day Malaysia 2026 menawarkan festival selama satu(1) hari yang menggabungkan elemen sukan permotoran, inovasi produk, gaya hidup, hiburan dan penglibatan komuniti, sekali gus menjadikannya antara sambutan terbesar pernah dianjurkan oleh RCB di Malaysia.

Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia, RCB menyediakan pelbagai ganjaran dan keistimewaan eksklusif sepanjang acara, antaranya hadiah Cabutan Bertuah bernilai lebih RM30,000, Pas acara eksklusif , Kemudahan parkir khas untuk pengguna RCB terpilih dan minyak petrol percuma dengan jumlah keseluruhan bernilai RM2,000, khas untuk 200 motosikal terawal di PETRONAS Technology Park Malaysia 1, dari 10.30 pagi hingga 11.30 pagi.

Ganjaran eksklusif ini mencerminkan komitmen RCB untuk menghargai para penunggang motosikal yang terus menyokong jenama ini sejak sekian lama.

Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik termasuk tarikan sukan permotoran, pameran motosikal, pertandingan, pameran interaktif serta persembahan hiburan yang sesuai untuk penunggang, keluarga dan peminat motosikal.

Antara tarikan utama ialah peluang bertemu dua pelumba motosikal terbaik negara yang juga merupakan Atlet RCB, iaitu Hafizh Syahrin Abdullah, Juara ASB1000, dan Kasma Daniel Kasmayudin, pelumba SS600, menerusi sesi eksklusif bertemu peminat.

Sepanjang acara berlangsung, pengunjung turut berpeluang menikmati pameran produk, pameran motosikal ubah suai, pameran interaktif daripada jenama terkemuka dalam industri sukan permotoran dan automotif, aktiviti komuniti, promosi istimewa serta persembahan hiburan termasuk demonstrasi seni mempertahankan diri Pencak Silat, persembahan kumpulan rock legenda Malaysia XPDC dan artis jemputan lain.

Pengurus Besar Jenama RCB, Marcus Leong berkata, RCB Day Malaysia 2026 merupakan cara kami mengucapkan terima kasih kepada semua penunggang dan penyokong yang telah bersama dalam perjalanan RCB.

“Lebih daripada sekadar sebuah acara, ia adalah sambutan kepada komuniti RCB yang berkongsi minat terhadap dunia motosikal, prestasi dan inovasi.

“Buat pertama kalinya di Malaysia, kami menghimpunkan Ikon Berpengaruh serantau dari enam negara, atlet perlumbaan profesional, rakan industri serta ribuan peminat motosikal di satu lokasi.

“Kami percaya acara bersejarah ini akan menjadi platform tahunan yang mengeratkan hubungan, menggalakkan inovasi serta mengetengahkan budaya permotoran yang terus menyatukan penunggang di seluruh Asia,” ujarnya.

Turut menjadi tumpuan ialah Pameran Motosikal RCB, yang mempertandingkan empat kategori iaitu King of RCB Moped, King of RCB Scooter, RCB Drag King dan RCB Cover Set Superstar, bagi meraikan kreativiti, kemahiran dan minat mendalam komuniti penunggang motosikal.

RCB Day Malaysia 2026 menjadi satu lagi pencapaian penting dalam komitmen RCB untuk memperkukuh kehadirannya di peringkat serantau dengan menghimpunkan penunggang, rakan perniagaan dan pemain industri. Menerusi penganjuran sulung ini, RCB berharap dapat memperkukuh penglibatan komuniti, meraikan budaya permotoran serta mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama prestasi motosikal terkemuka di rantau ini.


Add Comment

Click here to post a comment