
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu memulakan perlumbaan dari petak kesembilan sebelum turun ke kedudukan ke-12 pada pusingan pertama.
Bagaimanapun, Hakim Danish berjaya meningkatkan rentaknya dan bangkit untuk memintas beberapa pelumba sebelum naik ke kedudukan kelapan serta kembali bersaing dalam kelompok hadapan.
Namun, ketika perlumbaan memasuki pusingan kelima, pelumba kelahiran Terengganu itu terbabit dalam insiden di selekoh 16-17.
Pelumba Ireland, Casey O’Gorman (SIC58 Squadra Corse) yang menunggang jentera Honda, terlibat dalam insiden dengan pelumba Sepanyol, Adrian Cruces (CIP Green Power) sehingga menyebabkan Cruces terjatuh. Hakim Danish yang berada berhampiran kemudian terpaksa mengelak untuk mengelakkan pelanggaran.
Bagaimanapun, usaha Hakim untuk mengelak insiden tersebut menyebabkan motosikalnya terkeluar daripada laluan perlumbaan sebelum dia turut terjatuh di selekoh 17. Susulan insiden berkenaan, O’Gorman kemudiannya dikenakan Long Lap Penalty kerana menyebabkan kemalangan tersebut.
Sebelum perlumbaan, Hakim Danish terlebih dahulu mencuri perhatian dalam sesi kelayakan apabila mencatat masa 2 minit 9.977 saat untuk mengesahkan petak kesembilan, sekali gus menunjukkan peningkatan positif selepas permulaan hujung minggu yang agak mencabar.

Pengarah ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, berkata keputusan di Silverstone tidak menggambarkan potensi sebenar Hakim Danish selepas pelumba itu berjaya bangkit dan menunjukkan prestasi kompetitif sepanjang hujung minggu.
Menurutnya, pasukan akan menggunakan pengalaman di Silverstone sebagai input penting untuk melakukan penambahbaikan pada jentera, selain memastikan Hakim Danish dapat mengambil pengajaran daripada perlumbaan tersebut untuk kembali lebih kuat pada pusingan seterusnya di Aragon.
Kegagalan menamatkan perlumbaan di Silverstone menyaksikan Hakim Danish tidak menambah sebarang mata dan kekal di tangga kelapan Kejuaraan Dunia Moto3 dengan 86 mata.
Dalam kejuaraan Rookie of the Year 2026, Hakim Danish turut kekal di tempat ketiga dengan 86 mata, di belakang Brian Uriarte yang mengumpul 127 mata dan Veda Pratama dengan 97 mata.









Add Comment