
TIGA pelumba muda negara bersedia menggalas cabaran buat Malaysia pada Pusingan Kedua Idemitsu Moto4 Asia Cup 2026 di Litar Antarabangsa Sepang dari 31 Julai hingga 2 Ogos ini dengan misi meneruskan momentum cemerlang selepas aksi pembukaan di Buriram, Thailand.
Perlumbaan yang berlangsung serentak dengan Pusingan Ketiga Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) itu dijangka menghimpunkan pelumba-pelumba terbaik rantau Asia dalam saingan memburu mata penting kejuaraan selepas berehat hampir enam bulan.
Malaysia yang mempertaruhkan bintang muda seperti Qabil Irfan Azlan, Naqib Rifqi dan Qayyim Razin dilihat bersedia selepas masing-masing menjalani program pembangunan berbeza sepanjang musim bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik untuk menghadapi perlumbaan di laman sendiri.
Qabil hadir sebagai sandaran utama negara selepas mempamerkan aksi memberangsangkan pada pusingan pembukaan di Buriram apabila menghadiahkan podium pertama Malaysia musim ini menerusi kedudukan naib juara Perlumbaan Kedua.
Keputusan itu membolehkan pelumba kelahiran Terengganu itu mengumpul 30 mata untuk menghuni tangga ketiga keseluruhan kejuaraan.
Selain mengharungi saingan Moto4 Asia Cup, Qabil turut mengumpul pengalaman berharga di pentas antarabangsa menerusi penyertaan dalam Moto4 European Cup, sekali gus memberi kelebihan menjelang aksi di Sepang.
Naqib pula terus meningkatkan kemampuannya dengan beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) menerusi kelas TVS Asia One Make Championship selain menyertai Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan juga MSBK.
Sementara itu, Qayyim meneruskan pembangunan bakatnya dalam Kejuaraan MotoMini Malaysia 190cc yang menjadi platform penting melahirkan pelumba muda negara sebelum melangkah ke pentas yang lebih tinggi.
Pendedahan di pelbagai kejuaraan membolehkan ketiga-tiga pelumba mengekalkan rentak perlumbaan, meningkatkan kecergasan fizikal serta memperkukuhkan kemahiran teknikal sepanjang tempoh rehat.

Selepas aksi pembukaan di Buriram, Qabil kini berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 30 mata, manakala Naqib menghuni kedudukan ke-14 dan Qayyim di tangga ke-22. Ketiga-tiga pelumba bertekad memanfaatkan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri untuk memperbaiki kedudukan keseluruhan kejuaraan.
Pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin, percaya pengalaman yang diperoleh Qabil, Naqib dan Qayyim menerusi penyertaan dalam pelbagai kejuaraan sepanjang musim ini mampu membantu mereka memberikan saingan lebih sengit kepada pencabar dari seluruh Asia di Sepang.












Add Comment