
MALAYSIA kini memasuki bulan terakhir persiapan bagi menganjurkan antara acara bola sepak terbesar tahun ini, apabila gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 9 Ogos
2026.
Dijangka menarik ribuan penyokong dari seluruh Malaysia dan rantau Asia Tenggara, perlawanan ini menemukan salah satu kelab bola sepak paling berprestij di dunia dengan kelab profesional paling berjaya di Asia Tenggara.
Pertembungan ini sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi penganjuran acara sukan antarabangsa bertaraf dunia.
Persiapan kini telah memasuki fasa operasi terakhir, dengan pihak penganjur bekerjasama rapat dengan badan induk bola sepak, agensi kerajaan, penyiar rasmi, pasukan keselamatan serta rakan-rakan strategik bagi memastikan pengalaman hari perlawanan memenuhi standard antarabangsa, sama ada di dalam mahupun di luar padang.
Pengarah Urusan TEG Sport, Rachael Carroll, berkata fokus utama sepanjang beberapa minggu akan datang adalah memastikan penganjuran perlawanan ini mencerminkan status dan reputasi dua kelab besar, Chelsea FC dan Johor Darul Ta’zim.
“Acara bola sepak antarabangsa bertaraf dunia ditentukan oleh segala persiapan yang dilakukan jauh sebelum sepak mula. Ketika persiapan memasuki fasa terakhir, keutamaan kami adalah memastikan setiap aspek penganjuran, daripada operasi perlawanan, penyiaran, perkhidmatan media hinggalah pengalaman penyokong, dilaksanakan mengikut standard antarabangsa yang tertinggi.
“Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan penyokong dari Malaysia dan seluruhrantau ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menyaksikan perlawanan yang dijangka menjadi satu detik yang cukup bermakna, sambil memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah kepada acara sukan bertaraf dunia.
“Bagi JDT, perlawanan ini memberikan satu lagi peluang untuk menguji kemampuan mereka menentang salah sebuah kelab paling berpengaruh di Eropah sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi musim baharu saingan domestik dan Asia.
Bagi Chelsea FC pula, kunjungan ini menandakan satu lagi bab penting dalam usaha kelab itu mendekati penyokongnya di Asia, di mana The Blues terus menikmati sokongan yang amat besar di rantau ini.
Sambutan terhadap perlawanan ini terus meningkat sejak jualan tiket dibuka, dengan penyokong dijangka hadir dari seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia serta negara-negara jiran untuk menyaksikan aksi berprestij ini di Stadium Sultan Ibrahim, yang diiktiraf sebagai antara stadium bola sepak terbaik di Asia.








Add Comment