
SYARIKAT penerbangan Vietjet telah dilantik sebagai Rakan Penerbangan Rasmi bagi empat kejohanan ASEAN United FC, iaitu ASEAN Hyundai Cup™, ASEAN Club Championship Shopee Cup™, ASEAN Women’s MSIG Cup™, dan ASEAN U-23 Championship™.
Kerjasama ini dimeterai menerusi SPORTFIVE, rakan komersial eksklusif kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
Sebagai salah satu syarikat penerbangan yang berkembang pesat di Asia Tenggara, Vietjet terus memperkukuh kehadiran di Malaysia dengan mengendalikan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Ho Chi Minh City dan Hanoi.
Melalui rangkaian lebih daripada 135 laluan merentasi Asia Tenggara, Australia, Kazakhstan, India, China, Jepun dan Korea Selatan, serta perancangan untuk memperluaskan rangkaian ke Eropah, Vietjet menawarkan akses yang lebih selesa kepada rakyat Malaysia untuk ke Vietnam dan destinasi antarabangsa yang lain.
Dengan pesawat bercorak ikonik merah dan kuning, Vietjet kini semakin dikenali dalam kalangan pengembara di seluruh dunia, sekali gus memainkan peranan penting dalam menghubungkan negara serta memperkukuh kesalinghubungan ekonomi, budaya dan sosial antara komuniti.

Sebagai Rakan Penerbangan Rasmi ASEAN United FC, Vietjet akan menghubungkan para penyokong bola sepak dan destinasi di seluruh Asia Tenggara menerusi kejohanan bola sepak utama rantau ini, bermula dengan ASEAN Hyundai Cup™ 2026, kejohanan paling berprestij dalam kalendar bola sepak ASEAN serta acara sukan terbesar di rantau ini.
Naib Presiden Tetap Vietjet, Encik To Viet Thang, berkata, Vietjet sentiasa komited dalam menyokong acara sukan yang bermakna di seluruh dunia bagi menghubungkan masyarakat dan memberikan impak positif kepada komuniti.
“Kerjasama kami dengan kejohanan ASEAN United FC mengukuhkan lagi komitmen Vietjet untuk menghubungkan bukan sahaja destinasi, malah masyarakat, budaya dan nilai bersama dalam kalangan masyarakat.
“Melalui penerbangan dan sukan, Vietjet berhasrat untuk memperkukuh hubungan serantau, mempromosikan Asia Tenggara ke persada dunia, serta membuka lebih banyak peluang ke arah pembangunan yang mampan,” ujarnya.
Selain itu, Vikki Digital Bank turut dilantik sebagai Rakan Perbankan Rasmi di Vietnam bagi keempat-empat kejohanan ASEAN United FC.
Melalui kerjasama ini, Vietjet dan Vikki menggabungkan kekuatan dua jenama terkemuka bagi menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih lancar, merangkumi perjalanan udara, kemudahan pembayaran dan pilihan simpanan yang memberikan nilai tambah kepada para penyokong di seluruh Asia Tenggara, salah satu pasaran pelancongan yang berkembang pesat di dunia.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Mejar Jeneral Khiev Sameth, berkata, bagi pihak Persekutuan Bola Sepak ASEAN, pihaknya amat berbesar hati mengalu-alukan Vietjet dan Vikki Digital Bank sebagai sebahagian daripada keluarga bola sepak ASEAN.
“Sebagai jenama terkemuka, Vietjet dan Vikki Digital Bank berkongsi keyakinan kami terhadap kuasa hubungan dalam menyatukan masyarakat dan memperkukuh komuniti. Dengan kesalinghubungan sebagai teras perniagaan kedua-dua jenama, Vietjet dan Vikki merupakan rakan yang ideal bagi kejohanan ASEAN United FC.
“Bersama-sama, kami berharap dapat memulakan perjalanan bersama ke arahperpaduan dan pertumbuhan, sekali gus merapatkan lagi hubungan antara Persatuan Ahli, kelab, penyokong dan komuniti di seluruh ASEAN melalui semangat bola sepak,” tegasnya.

Bagi Presiden dan Pengerusi Lembaga Pengarah SPORTFIVE Asia, Encik Seamus O’Brien, pula berkata, pihaknya amat berbesar hati mengalu-alukan Vietjet, sebuah syarikat penerbangan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, serta Vikki Digital Bank sebagai Rakan Rasmi terbaharu dalam keluarga ASEAN United FC yang semakin berkembang.
“Kerjasama dengan kejohanan bola sepak utama rantau ini – ASEAN Hyundai Cup™, ASEAN Club Championship Shopee Cup™, ASEAN Women’s MSIG Cup™, dan ASEAN U-23 Championship™ – menyokong usaha Vietjet untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan pilihan di Asia Tenggara, di samping memperkukuh reputasi Vikki sebagai bank digital generasi baharu Vietnam.
“Pada masa sama, kerjasama ini akan mengukuhkan hubungan bersama pelanggan serta meningkatkan kesalinghubungan antara destinasi pelancongan yang pesat berkembang di rantau ini,” katanya.







Add Comment