Antarabangsa Permotoran Terkini

Qabil Irfan cipta podium sulung di Litar Jerez

Qabil tidak pernah mengalah dan terus memberikan tekanan kepada kelompok pendahulu sebelum melakukan kebangkitan pada penghujung perlumbaan. 

QABIL Irfan Azlan melakar sejarah peribadi apabila meraih podium sulung dalam saingan Moto4 European Cup selepas menamatkan Perlumbaan 2 Pusingan 3 di Litar Jerez, Sepanyol di tempat ketiga dalam perlumbaan yang dihentikan dengan bendera merah susulan kemalangan besar.

Pelumba pasukan SIC-GRYD Racing itu mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada kedudukan kelapan untuk kembali mencabar kelompok hadapan dalam perlumbaan yang dipendekkan kepada sembilan pusingan.

Walaupun beberapa kali kehilangan posisi akibat persaingan sengit, Qabil tidak pernah mengalah dan terus memberikan tekanan kepada kelompok pendahulu sebelum melakukan kebangkitan pada penghujung perlumbaan.

Namun, perlumbaan bertukar cemas apabila kemalangan besar membabitkan Lorenzo Pritelli, Victor Cubeles, Alvaro Lucas dan Edoardo Savino berlaku di kelompok hadapan sehingga memaksa perlumbaan dihentikan dengan bendera merah dikibarkan pada pusingan terakhir perlumbaan.

Qabil yang berjaya mengelak insiden tersebut kemudiannya disahkan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga sekali gus menghadiahkan podium pertamanya dalam Moto4 European Cup.

Gabungan keputusan tempat ketujuh pada Perlumbaan 1 dan podium tempat ketiga pada Perlumbaan 2 membolehkan Qabil mengumpul 51 mata keseluruhan untuk kekal di tangga keenam kejuaraan, sekali gus terus menghidupkan peluang mencabar kelompok teratas apabila kini hanya dipisahkan 44 mata daripada pendahulu keseluruhan, Alvaro Lucas dari pasukan CFMoto Aspar Junior Team.

Podium sulung di Jerez turut menjadi bukti perkembangan positif Qabil dan podium tersebut sedikit sebanyak meningkatkan semangat Qabil untuk memburu kemenangan sulung menjelang aksi seterusnya Perancis pada 24 hingga 26 Julai nanti.


Add Comment

Click here to post a comment