Antarabangsa Lain-Lain Terkini

The IHH SKY RACE Merdeka 118 kembali sebagai acara larian menara terbesar di dunia

IHH Healthcare Malaysia Dinamakan Sebagai Rakan Penaja Utama, 9,000 Peserta Bersedia Menawan 118 Tingkat dan 2,845 Anak Tangga di Merdeka 118

LARIAN menara terbesar di dunia bakal kembali pada Ogos ini, apabila Fresh Events Asia hari ini mengumumkan IHH Healthcare Malaysia sebagai Rakan Penaja Utama bagi The IHH Sky Race™ | Merdeka 118.

Berlangsung pada 22 dan 23 Ogos 2026, The IHH Sky Race™ | Merdeka 118 akan menyaksikan penyertaan sehingga 9,000 peserta di Merdeka 118 yang merupakan bangunan tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi di dunia, untuk satu pengalaman unik yang menggabungkan kecergasan, pencapaian yang menawarkan pemandangan paling memukau di Kuala Lumpur.

Susulan kejayaan edisi sulungnya, acara ini kembali dengan format dua hari yang lebih besar, membolehkan lebih ramai peserta berbanding sebelum ini merasai sendiri pengalaman menuju ke Aras 118 melalui 118 tingkat dan 2,845 anak tangga.

Pengarah Urusan Fresh Events Asia merangkap Pengarah Perlumbaan bagi The IHH Sky Race™ | Merdeka 118, Jeffrey Ross berkata, sambutan orang ramai terhadap acara tahun ini amat memberangsangkan.

Ujarnya, bermula sebagai visi untuk mencipta acara larian menara bertaraf dunia di salah satu bangunan paling ikonik di dunia, kini telah berkembang menjadi acara sukan penyertaan massa yang paling dinanti-nantikan di Malaysia,

“Dengan penyertaan IHH Healthcare Malaysia sebagai Rakan Penaja Utama bagi tempoh tiga tahun akan datang, kami teruja untuk membawa acara ini ke tahap yang lebih tinggi, mencipta pengalaman yang menyemarakkan semangat peserta dari semua peringkat kecergasan untuk mencabar diri, meraikan pencapaian dan menikmati Merdeka 118 dengan cara yang benar-benar unik,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Dr Kamal Amzan berkata, kesihatan yang baik dibina lama sebelum seseorang itu memerlukan rawatan di hospital dan ianya bbermula dengan pilihan harian kita, termasuk kekal aktif dan mencabar diri untuk banyak bergerak.

“The Sky Race™ adalah peringatan bahawa kemajuan berlaku selangkah demi selangkah. Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk mencabar diri mereka dan menyedari bahawa kesihatan yang lebih baik, sama dengan setiap pendakian yang hebat, bermula dengan langkah pertama,” katanya.

Sebagai salah satu penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan bersepadu yang terkemuka di dunia, kerjasama IHH Healthcare Malaysia dengan The Sky Race™ mencerminkan komitmennya untuk memajukan kesihatan melangkaui persekitaran hospital serta menggalakkan orang ramai untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam kesejahteraan diri mereka.

Dalam tempoh tiga tahun akan datang, IHH Healthcare Malaysia akan menyokong acara ini melalui inisiatif penglibatan komuniti, program kesihatan dan kesejahteraan, aktiviti pra-acara serta perkhidmatan perubatan di tapak acara, bagi mewujudkan pengalaman yang menggalakkan gaya hidup aktif dan komuniti yang lebih sihat.

Berbeza daripada acara larian konvensional, The IHH Sky Race™ | Merdeka 118 menawarkan peserta peluang yang unik untuk mendaki 118 tingkat dan 2,845 anak tangga sehingga ke Aras 118. Peserta boleh memilih untuk menyertai Kategori Individu atau Kategori Berpasukan (3 orang), dengan semua peserta perlu melengkapkan pendakian penuh sebelum turun menggunakan lif.

Bukan sekadar satu perlumbaan, The IHH Sky Race™ telah menjadi satu acara yang meraikan pencapaian peribadi, kecekalan dan semangat kemasyarakatan. Para peserta terdiri daripada pelbagai golongan, merangkumi atlet elit dan penggemar kecergasan hinggalah individu yang pertama kali menyertai aktiviti mendaki tangga, serta keluarga, rakan-rakan dan pasukan korporat.

Acara ini dengan bangganya mendapat sokongan daripada EBENE sebagai Rakan Utama, Oligo sebagai Rakan Sokongan, serta semakin banyak organisasi yang berganding bahu dalam merealisasikan pengalaman istimewa ini.

The Sky Race™ turut disokong oleh Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan acara ini dalam memperkasa pelancongan sukan dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi acara bertaraf dunia.

Acara ini juga mendapat pengiktirafan oleh Persatuan Larian Menara Malaysia (Malaysian Towerrunning Association, MTA).

Dengan aspirasi untuk menjadi salah satu acara larian menara terkemuka di dunia, The IHH Sky Race™ | Merdeka 118 terus meletakkan Kuala Lumpur setanding dengan acara larian menara terkenal dunia seperti Empire State Building Run-Up, Shanghai Tower International Vertical Marathon, Eiffel Tower Vertical Race dan Taipei 101 Run Up.




Add Comment

Click here to post a comment