
JOHOR 7s 2026 melabuhkan tirainya hari ini dengan All For One (Thailand) muncul juara kategori lelaki, manakala E.C.M.R Singapore dinobatkan sebagai juara kategori wanita selepas masing-masing mencatat kemenangan dalam perlawanan akhir yang
berlangsung di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin.
Dalam kategori lelaki, All For One mengesahkan kejuaraan selepas menewaskan Malaysia University 19-5 dalam aksi final yang berlangsung sengit. Kedua-dua pasukan mempamerkan permainan berkualiti tinggi sepanjang perlawanan, namun All For One berjaya memanfaatkan peluang yang terhidang untuk menjulang kejuaraan edisi tahun ini.
Bagi kategori wanita pula, E.C.M.R Singapore membuktikan keunggulan mereka apabila menewaskan Singapore Development 20-5 dalam perlawanan akhir.
Kemenangan itu melengkapkan kempen cemerlang pasukan berkenaan selepas mempamerkan aksi konsisten sejak saingan peringkat kumpulan sehingga ke pentas final.
Selain perebutan kejuaraan kategori Cup, saingan kategori lelaki turut menyaksikan SSTMI Tsunami muncul juara Plate menerusi perbezaan mata selepas seri 12-12 dengan Red Panthera, manakala Singapore Development menjuarai kategori Bowl dengan kemenangan 19-7 ke atas DKI Jakarta.
Kategori Shield pula dimenangi oleh SJ26 yang menewaskan MVPRC 12-5, sementara Johor Barbarian melengkapkan saingan dengan merangkul kejuaraan Spoon selepas mengatasi X King RC 31-0.
Bagi kategori wanita, DKI Jakarta muncul juara Plate selepas menewaskan Cattleya RC 12-10, manakala B.A.C Bears menjulang kejuaraan Bowl hasil kemenangan 12-10 ke atas UPM Angels, sekali gus melengkapkan senarai juara bagi kategori wanita pada Johor 7s 2026.
Sepanjang tiga hari penganjuran, Johor 7s 2026 menghimpunkan pasukan-pasukan dari Malaysia serta beberapa negara luar termasuk Singapura, Thailand dan Indonesia, sekali gus menyajikan persaingan berkualiti serta mengukuhkan kedudukan kejohanan ini sebagai antara pertandingan ragbi tujuh sebelah yang berprestij di rantau ini.

Presiden Kesatuan Ragbi Johor (JRU), Datuk Mohd. Noorazam Osman, berkata penganjuranJohor 7s pada tahun ini menyaksikan peningkatan yang amat memberangsangkan daripada segi kualiti dan tahap persaingan berbanding edisi lalu.
“Penganjuran Johor 7s pada tahun ini menyaksikan peningkatan yang amat memberangsangkan daripada segi kualiti dan tahap persaingan berbanding edisi tahun lalu.
Setiap perlawanan berlangsung dengan cukup sengit dan kompetitif.” “Kami juga berbangga kerana kejohanan kali ini menghimpunkan barisan pemain terbaik daripada setiap pasukan, termasuk penyertaan pasukan antarabangsa dari Thailand, Singapura dan Indonesia,” katanya.
Penganjuran Johor 7s 2026 sekali lagi membuktikan komitmen Kesatuan Ragbi Johor (JRU) dalam memperkasa pembangunan sukan ragbi di negeri ini dan di peringkat serantau.
Dengan berakhirnya edisi tahun ini, Johor 7s dijangka kembali pada tahun hadapan dengan penyertaan yang lebih besar serta persaingan yang lebih sengit.









Add Comment