Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menjatuhkan hukuman ke atas PDRM FC selepas pasukan itu didapati bersalah menurunkan pemain tidak berkelayakan pada Final 1 MFL Challenge Cup 2024-2025 menentang Selangor FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, pada 15 Februari lalu.
Dalam perlawanan yang menyaksikan Selangor FC menang tipis 3-2, PDRM FC telah memasukkan pemain gantian, Mohd Safiee Ahmad, pada minit ke-58.
Bagaimanapun, pemain berjersi No. 32 itu sebenarnya sepatutnya menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning dalam aksi Suku Akhir 1 menentang Melaka FC dan Separuh Akhir 2 berdepan Kedah Darul Aman FC.
Berikutan pelanggaran Artikel 57 (berkenaan ketidaklayakan pemain) yang dibaca bersama Artikel 32 (berkenaan perlucutan hak) dalam Kod Tatatertib FAM, PDRM FC dikenakan hukuman tegas.
Pasukan itu bukan sahaja dilucutkan kemenangan, malah perlawanan dikira sebagai kekalahan 0-3 kepada Selangor FC.
Selain itu, mereka turut didenda RM3,000 dan diberikan amaran keras agar kesalahan sama tidak berulang.
Keputusan ini adalah muktamad dan tidak boleh dirayu.
Keputusan ini memberikan kelebihan besar kepada Selangor FC menjelang Final 2 MFL Challenge Cup 2024-2025 yang bakal berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, pada Sabtu.
Dengan agregat 3-0 memihak kepada Selangor FC, pasukan kendalian jurulatih itu kini berada di landasan terbaik untuk menjulang trofi.










Add Comment