
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menghormati keputusan Christopher Raj untuk meletakkan jawatan beliau sebagai pengurus pasukan B-17 kebangsaan susulan kegagalan skuad berkenaan layak ke Piala Asia B-17 2025, Ahad lalu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, ia selepas mengambil kira rasa tanggungjawab oleh Exco FAM itu yang telah memegang jawatan pengurus pasukan dalam dua kali kejohanan Kelayakan Piala Asia B-17 selepas dilantik pada November 2021.
“Benar beliau (Christopher) telah melepaskan jawatan sebagai pengurus pasukan B- 17 kebangsaan dan Sekretariat Agung FAM telah pun menerima surat peletakan jawatan tersebut pada Isnin (semalam). FAM menerima dan menghormati keputusan yang dibuat oleh beliau itu.
“Untuk pengetahuan juga, Sekretariat Agung FAM telah meminta pengurus pasukan (Christopher), ketua jurulatih B-17 dan B-20 kebangsaan serta Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell menghantar laporan pasukan secepat mungkin untuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM yang dipengerusikan oleh Datuk S Sivasundaram yang juga Timbalan Presiden FAM untuk post mortem dan diperhalusi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Noor Azman juga menjelaskan mengenai pemilihan Laos sebagai lawan skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada November ini, selain pasukan India.
“Kita harus tahu bahawa 18 pasukan terbaik dari Asia sudah ada jadual masing- masing sehingga tahun depan iaitu menghadapi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
“Malah, Pau Marti selaku ketua jurulatih juga membuat keputusan untuk tidak mengatur perlawanan persahabatan menentang empat pasukan dari Asia Tenggara iaitu Singapura, Thailand, Kemboja dan Timor Leste kerana mereka dalam satu kumpulan dengan kita pada Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, Disember ini,” ujarnya.
Noor Azman turut menambah, sama seperti aksi menentang New Zealand dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada bulan Oktober sebelum ini, Pau Marti yang memutuskan pasukan lawan bagi aksi persahabatan bulan Oktober dan November.
“Pau Marti sendiri yang ingin menentang satu kelab (Auckland FC) pada bulan Oktober. Ini kerana beliau mahu mendapatkan perlawanan menentang pasukan negara yang berada dalam ranking lebih tinggi dan kompetitif. Tapi tiada pasukan negara yang sesuai pada ketika itu.
“Pada masa sama, Pau Marti juga akan memutuskan pasukan manakah yang akan dihantar beraksi pada Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 nanti.
“Perlawanan menentang Laos dan India ini adalah persiapan terakhir beliau dalam menyediakan pasukan ke kejohanan tersebut, ” jelas Noor Azman.





Add Comment