
PENGENDALI Melaka United FC, Risto Vidakovic teruja untuk menyaksikan gandingan dua penyerang import iaitu Sony Norde dan Ifedayo Omosuyi di atas padang apabila dijangka mampu memberi impak besar di bahagian serangan pasukan.
Namun, ini tidak bermakna beliau akan lupakan sentuhan pemain-pemain lain yang akan membantu bukan sahaja di bahagian depan pasukan tetapi di posisi-posisi lain juga.
“Kami ada ramai pemain yang berpotensi besar dan untuk perlawanan persahabatan hari ini (semalam), mereka berdua (Norde dan Omosuyi) masih belum turun beraksi dan apabila mereka hadir, saya rasa mereka akan menjadi gandingan terbaik untuk pasukan.
“Mungkin dalam minggu depan kita akan saksikan mereka berdua beraksi dan untuk persediaan terakhir, saya percaya pasukan ini akan lengkap sepenuhnya dan lebih bersedia.
“Mengenai sasaran, saya sendiri ingin pemain fokus satu demi satu perlawanan terlebih dahulu dan saya harap mereka akan lebih bersedia untuk perlawanan pertama liga nanti”, tambahnya.
Melaka United FC kali ini dilihat berbeza dengan adunan beberapa muka baharu dan pemain berpengalaman sedia ada digandingan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2022.
Selain Norde dan Ifedayo, skuad Sang Kancil juga diperkuatkan dengan kehadiran bekas penyerang terbaik kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang berhijrah dari Sarawak United musim ini.





Add Comment