
PEMAIN baharu The Reds, Luis Diaz membuat penampilan sulung bersama pasukan selaku pemain gantian pada saingan Piala FA di Stadium Anfield malam tadi.
Kemasukkannya yang menggantikan Curtis Jones pada minit ke 58 nyata mendapat tepukan gemuruh penyokong tuan rumah walaupun hanya menjalani latihan singkat bersama pasukan selepas dibawa masuk dari FC Porto.
Ternyata penampilan pemain ini tidak mengecewakan apabila aksi dan hantarannya memastikan gol kedua terhasil yang disempurnakan Takumi Minamino selang 10 minit kemudian.
Namun disebalik kegembiraan tersebut, penyokong mahupun pengendalinya Jurgen Klopp terkedu seketika apabila pemain baharunya itu dilihat memegang lututnya selepas dilihat terjatuh semasa pertarungan udara dengan Aden Flint sebelum dia dilihat secara tidak sengaja memijak kaki Diaz pada minit ke 83.
Diaz segera menerima bantuan daripada pasukan perubatan Liverpool, sebelum akhirnya kembali ke padang. Diaz meneruskan perlawanan yang berakhir dengan kemenangan 3-1 Liverpool ke atas Cardiff.
Persembahan Diaz dalam perlawanan sulungnya bersama Liverpool dihargai oleh Jurgen Klopp dan menyifatkan kecederaan Diaz sebagai ‘selamat datang’ kepada bola sepak Inggeris yang terkenal sukar dan penuh aksi.
“Luis mempunyai sedikit lebam dan luka di sana. Semua orang memanggilnya ‘selamat datang ke England’.
“Akan ada parut jadi dia tahu apa yang dia lakukan dalam perlawanan pertama,” kata Klopp mengenai penampilan sulung Luis Diaz, dipetik oleh BBC .






Add Comment