
Oleh: AMMAR HAZIQ
KEDAH Darul Aman (KDA) FC gagal mengekalkan penyerang utama mereka, Kpah Sherman apabila pemain Liberia tersebut memilih untuk bersama pasukan lain pada musim 2022.
Belum diketahui ke mana hala tuju pemain tersebut namun dilaporkan Terengganu FC (TFC) berminat untuk mendapatkan khidmatnya tahun hadapan.
Sebelum ini media melaporkan TFC tidak menafikan Sherman sememangnya berada dalam radar pasukan dan perbincangan awal sudah diadakan selepas pemain itu juga dikatakan berminat untuk menyarung jersi TFC.
Namun skuad Penyu tidak mahu mengambil sikap terburu-buru mengikat pemain kebangsaan Liberia itu bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan itu musim depan.
Pasukan itu mahu memperhalusi terlebih dahulu perbincangan mengenai kontrak sebelum mengikat pemain berusia 29 tahun itu.
Sementara itu, KDA FC dalam perkongsian di Facebook rasminya berkata, mereka merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Sherman yang telah mencurahkan segalanya dan perjuangan sepenuh hati sepanjang menyumbang tenaga dengan skuad hijaukuning sejak musim 2020.
Menurutnya, pengurusan menghormati pilihan pemain tersebut untuk bersama pasukan lain walaupun barisan kejurulatihan Hijau Kuning berhasrat mengekalkan beliau semusim lagi.
“Warga KDA FC mengucapkan selamat maju jaya dalam kerjaya beliau dengan pasukan baharu.
Sepanjang menabur bakti selama dua musim, Sherman menjaringkan 19 gol bersama pasukan Kedah selain pernah beraksi untuk kejohanan kelayakan dan Play-Off Piala AFC 2020.
Dia antara penyerang import yang sering menjaringkan gol membantu kemenangan pasukan Kedah, seterusnya membantu Kedah keluar sebagai Naib Juara Liga Super untuk dua tahun berturut-turut.











Add Comment