Bola Sepak Komentar

Khabarnya hanya tinggal lapan tonggak utama… ‘boto ko Jangs’?


Selepas bergelar juara Liga Premier musim ini, NSFC terus senyap dari perkembangan persiapan pasukan menjelang musim 2022.

Oleh: MOHD FARIQ

APAKAH nasib juara Liga Premier 2021, Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super musim depan difahamkan hanya tinggal lapan tonggak utama sahaja yang masih sayangkan pasukan dan setia menunggu perkhabaran dari pengurusan mengenai hala tuju mereka pada tahun hadapan.

Gah dengan kejayaan membanggakan musim ini dengan menamatkan penantian sembilan tahun tanpa sebarang kejuaraan apabila menjulang trofi Liga Premier 21 September lalu namun selepas itu skuad Hobin Jang Hobin sunyi sepi tanpa sebarang berita persiapan pasukan untuk musim 2022 yang lebih mencabar.

Salah seorang pemain berpengalaman berkata, tindakan pengurusan ketika ini yang dilihat berdiam diri terutamanya mengenai kontrak baharu pemain amat mengecewakan.

“Kontrak kami telah tamat sepenuhnya pada 30 November lalu namun sehingga kini belum ada kata putus malah ‘bunga-bunga’ perkhabaran mengenai kedudukan kami semua dalam pasukan.

“Kami rasa seolah-olah tidak dihargai selepas berjuang sepenuh jiwa dan raga untuk memastikan Negeri Sembilan FC meraih gelaran Liga Premier dan kembali disegani pasukan lain.

“Namun kami kini umpama menunggu bulan jatuh ke riba, mengharapkan sesuatu yang belum pasti,” katanya.

Jelas pemain berkenaan, sebelum ini pihak pengurusan NSFC ada memanggil pemain namun daripada skuad utama hanya 12 pemain sahaja yang menyatakan kesediaan untuk hadir pada majlis yang dicadangkan.

“Namun selepas menunggu terlalu lama hanya tinggal lapan pemain sahaja yang masih menunggu kata putus adakah akan diberikan tawaran baharu atau sebaliknya.

“Kedudukan lapan pemain ini juga belum dipastikan,” jelas pemain berkenaan yang ternyata kecewa dengan sikap acuh tak acuh pengurusan dalam mempersiapkan pasukan mengharungi musim 2022 yang pastinya mencabar.

Zaquan Adha juga dikhabarkan masih belum ditawarkan perjanjian baharu bagi musim depan.

Katanya lagi, pengurusan NSFC seharusnya serius da?am membentuk pasukan baharu untuk bersaing dengan pasukan-pasukan lain dalam Liga Super 2022.

“Selepas berjaya menamatkan penantian 11 tahun, tiada keghairahan dipamerkan pengurusan terutamanya dari segi mengekalkan pemain sedia ada mahu pun perancangan Liga Super musim depan.

“NSFC bakal berdepan pasukan-pasukan lain yang ketika ini telah pun mengatur langkah membina skuad yang lebih kuat namun situasi ini tidak berlaku dalam kem pasukan ketika ini.

“Kita tidak mahu NSFC dianggap sebagai pelengkap pasukan dan hanya mampu Bertalan satu musim sebelum kembali turun ke liga premier selain tidak mahu dianggap lubuk mata bagi pasukan lain,” ujarnya.

Kedudukan Annas yang beraksi di posisi pertahanan pada musim depan juga masih belum dipastikan.

Difahamkan beberapa pemain yang masih setia menanti adalah Ketua pasukan, Zaquan Adha, A. Selvan, A Kumar, Saiful Ridzuwan, Mohamad Zamri Ramli, Annas Rahmat dan Nasrullah Haniff.

Terdahulu kepincangan pengurusan NSFC mula kelihatan selepas Pengarahnya, Satwant Singh meletakkan jawatan Isnin lalu selain beberapa kenyataan dari pemain yang menyertai pasukan lain demi meneruskan karier profesional bolasepak.

Beberapa tulang belakang pengurusan dan Kejurulatihan musim ini iaitu jurulatih kecergasan,Arul Selvan yang merupakan anak jati dan bekas pemain Negeri Sembilan telah menyertai Selangor FC musim depan manakala Penolong Jurulatih, K Rajan menyertai Petaling Jaya City FC.

Nasib pemain tengah, Nasrullah juga masih belum ada penyelesaian bagi musim 2022.

Negeri Sembilan FC juga telah  kehilangan pemain tengah, R. Barathkumar yang kembali semula ke pasukan asalnya, Petaling Jaya City FC.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment