
Oleh : SUBKHI SUDARJI
PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu barisan pemainnya melupakan seketika “aktiviti sosial media” dan memberikan tumpuan sepenuhnya pada aksi menentang Vietnam dan Thailand nanti.
Tegasnya, sebagai manusia kita tidak boleh elakkan dari segala komen negatif namun yang penting sebagai pemain mereka perlu bijak melihatnya sebagai perkara positif dan sentiasa fikir ingin maju ke hadapan.
“Memang saya ada nasihatkan pemain agar meletakkan seketika media sosial ditepi dan fokus perlawanan akan datang kerana mungkin kata-kata negatif akan menyebabkan semangat mereka terjejas,” ujarnya.
Selepas kekalahan 0-4 ditangan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jumaat lalu, rata-rata peminat bola sepak tempatan kurang berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan bebeberapa pemain dalam pasukan.
Cheng Hoe berkata, meletakkan kesalahan kepada seorang pemain adalah tidak wajar kerana kita semua bermain dalam satu pasukan.
Antara pemain naturalisasi yang mendapat kecaman ialah Guilherme De Paula dan kebanyakan komen netizen mendakwa pemain berusia 34 tahun itu sebagai ‘pemalas’ di atas padang dan ada yang mendesak kerakyatannya dilucutkan.





Add Comment