
“SELEPAS detik-detik mencabar di Thailand, dan Terbuka Switzerland, saya rasakan keyakinan saya mula kembali.”
Kata-kata Lee Zii Jia itu pasti melegakan semua peminat badminton negara termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sendiri yang sebelum ini mula meragui kemampuan pemain ini.
Namun, Zii Jia beroleh ‘tonik’ terbaik di pentas suku akhir All England malam tadi waktu Malaysia, untuk mengatasi krisis keyakinan yang menjejaskan aksinya dalam empat kejohanan awal yang disertainya tahun ini.
Kemenangan sulung ke atas pemain nombor satu dunia, Kento Momota dalam pertemuan ketujuh mereka, sememangnya diharap mampu meletakkan semula dirinya pada landasan peningkatan yang terencat selepas All England tahun lalu akibat pandemik Covid 19.
“Ini adalah detik besar dalam karier saya. Kemenangan pertama ke atasnya … saya cukup gembira.
”Perancangan yang dibuat adalah untuk saya melawan habis-habisan dalam setiap mata. Memang ia bukan mudah kerana perlu terus kekal fokus atau Momota akan melebarkan jurang mata,” katanya.
Rakaman video temu ramah Zii Jia disiarkan dalam laman Facebook BAM hari ini.
Zii Jia menewaskan bintang Jepun itu 21-16, 21-19 dalam masa 55 minit, untuk menyamai pencapaiannya layak ke separuh akhir All England tahun lalu.
Kini, dia pastinya berharap dapat melangkah lebih jauh dalam aksi separuh akhirnya yang dijadual lewat malam ini waktu Malaysia, menentang Mark Caljouw dari Belanda yang mara selepas menundukkan pemain India, Lakshya Sen 21-17, 16-21, 21-17.
”Pastinya saya gembira dapat layak ke separuh akhir kedua berturut-turut di All England. Ini adalah kejohanan yang diidamkan semua pemain.
”Saya mahu menikmati kejayaan ini (menang ke atas Momota) tapi masih ada tugas berat menanti,” katanya.
Zii Jia berkata dia pernah menewaskan Caljouw di Terbuka German dua tahun tetapi mengakui ia bukan lawan yang mudah apa lagi masing-masing layak ke separuh akhir selepas melalui perlawanan yang sukar di suku akhir.





Add Comment