
OLEH MOHD FARIQ
HARI ini cukup meriah di laman sosial apabila rata-rata orang tampil mengucapkan tahniah kepada Datuk Nicol Ann David di atas kejayaan dinobatkan ‘WORLD GAMES GREATEST AHTLETE OF ALL TIME’.
Dek kejayaan itu, orang ramai mula berkongsi pengalaman hidup mereka sepanjang mengenali ratu skuasy negara yang sememangnya tiada tolok bandingan berdasarkan pencapaian peribadinya.
Penulis senyum keseorangan. Bukan apa, pengorbanan Nicol, yang sekarang berada di Columbia sejak dua tahun lepas atas urusan peribadi, untuk bergelar sebagai atlet antarabangsa sememangnya bukan jalan yang mudah.
Penulis bukan sahaja tahu tetapi penulis juga menyelusuri perjalanan karier Nicol.
Di mata masyarakat, karakter Nicol, yang berumur 37 tahun ini, terkenal sebagai jagoan negara tetapi di mata penulis, watak beliau adalah sama bagi penulis mengenalinya ketika berusia sepuluh tahun lagi.
Nostalgia mula mengusik memori penulis di mana kegagahan Nicol ketika usia kanak-kanak membuatkan penulis mengimbau kembali kenangan membuat liputan pertama dalam kariernya ketika berusia sepuluh tahun pada tahun 1993.

GELANGGANG SKUASY JALAN DUTA TEMPAT LAHIR GERGASI SKUASY NEGARA
Kenapa penulis definasi Nicol sebagai gergasi ketika beliau masih berusia sepuluh tahun? Di sini penulis mahu kongsikan.
Penulis telah mengenali Nicol sejak tahun 1993 ketika penulis mendapat tugasan untuk membuat liputan bintang remaja ini.
Dan seterunya tahun berikutnya, Nicol sudah mewakili Pulau Pinang di dalam Sukma (Malaysian Games, Perak) dan membantu Pulau Pinang memenangi pingat emas berpasukan.
Ketika itu Nicol yang sudah berumur 11 tahun, bentak hati penulis: “Siapakah budak ini? Seorang gadis kecil berusia tahun tetapi memberikan persembahan bertenaga dalam kejohanan Sukma bawah 19 tahun?”
Benar apa yang kalian baca, Nicol ketika berusia 9 tahun sudah pun bermain kejohanan kompetitif dan bukannya bawah 12 tahun!
Malah raket yang dipegang oleh Nicol adalah lebih besar daripada tuan punya badan semasa umur 9 tahun tetapi cara beliau mengendalikan raket sememangnya ada kelas tersendiri.
Dan akhirnya penulis sendiri sudah menjangkakan jaguh dunia bakal lahir dari Malaysia selepas melihat ‘gergasi’ menewaskan pemain skuasy yang lebih berusia daripadanya.
JAGUH DUNIA YANG MURAH SENYUMAN
Memenangi pelbagai kejohanan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa tidak sesekali membuatkan Nicol, yang menjadi juara dunia sebanyak lapan kali, mendabik dada.
Malah sehingga menjadi ikon sukan negara dan skuasy, Nicol tidak pernah lekang dengam senyuman manisnya.
Sifat merendah diri antara salah satu kejayaan Nicol, yang memenangi 7 emas di Sukan Asia antara 1998 sehingga 2018, cukup berjaya di pentas antarabangsa sebagaimana beliau cukup tenang di dalam mahupun di luar gelanggang.
Namun kenangan tidak boleh dilupakan penulis dengan anak kepada bekas penjaga gol Pulau Pinang, Desmond yang juga seorang Jurutera, dan ibunya, Ann Marie, seorang guru, ini di mana Nicol telah memberikan penulis raket selepas kejohanan Terbuka Malaysia pada tahun 1999.
Raket itu kekal tersimpan di rumah penulis.

NICOL MEMILIKI DUA KAKAK YANG TURUT HANDAL DALAM SUKAN SKUASY
Namun ramai tidak menyedari bahawa Nicol juga memiliki dua adik yang turut aktif dalam sukan skuasy.
Biarpun dua kakaknya iaitu Lianne dan Cheryl, Nicol mendedahkan kakaknya telah banyak membantu beliau mencetak potensi serta kejayaan yang dikecapi selama ini.
Nicol yang mengemari masakan ibunya, Laksa Penang, pernah mendedahkan sokongan dan motivasi daripada kakak-kakaknya telah membantu beliau memenangi pelbagai kejohanan sejak usia muda lagi.
Selain daripada kakaknya, jurulatih pertama Nicol iaitu Ee Phoeh Hoon di Pulau Pinang, juga antara salah satu faktor kejayaan Nicol mengungguli skuasy di peringkat dunia.
Justeru apa kesimpulan yang kita dapat lihat adalah sikap merendah diri, berusaha dan disiplin antara resepi kejayaan Nicol berjaya dalam bidang skuasy.
Ketika skuasy negara sedang sibuk mengintai bintang ‘Nicol seterusnya’, penulis cukup yakin legasi yang ditinggalkan Nicol sukar untuk digantikan tetapi dalam masa yang sama ia adalah cabaran buat pemain muda untuk membakar semangat mereka.
Akhir kata daripada penulis, Nicol.. kamu satu dalam berjuta juta.
(Nota: Mohd. Fariq merupakan penulis sukan khususnya bola sepak lebih daripada 20 tahun)





Add Comment