
PETALING Jaya City FC (PJFC) bakal mempertaruhkan barisan pemain tempatan dan muda pada saingan Liga Malaysia musim depan.
Ketua jurulatih PJ City FC yang baharu dilantik, P. Maniam kini dilihat cenderung dan mengambil langkah berani dengan membariskan 100% pemain tempatan dan lebih ramai pemain muda dijangka akan diberikan tempat dalam skuad itu pada saingan Liga Super 2021.
“Tidak mustahil untuk bermain tanpa pemain import. Sekarang pemain tempatan juga berpeluang membuktikan nilai mereka. Ini bermakna mereka tidak boleh berfikir untuk bermain secara individu, sebaliknya perlu bermain sebagai satu pasukan dan meningkatkan mutu permainan mereka untuk mencapai hasilnya.
“Kami mahukan pemain nombor sembilan (penyerang utama) yang boleh mengawal bola dan menjaringkan gol dalam situasi genting. Kami mempunyai Darren Lok, yang mengintai peluang untuk kembali ke pasukan kebangsaan, selain mengekalkan Kogileswaran Raj dan P. Yugan,” katanya.
Kelab yang berpangkalan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu akan mengekalkan beberapa pemain seperti pemain pertahanan Jeremy Lim Wei Shen serta pemain tengah berpengalaman Mahali Jasuli, D Christie Jayaseelan dan K Gurusamy.
PJ City FC menduduki tempat ketujuh daripada 12 pasukan dalam saingan Liga Super yang dipendekkan musim ini, namun tersingkir seawal pusingan pertama dalam saingan Piala Malaysia dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Terengganu, sebelum pertandingan berprestij itu dibatalkan kerana peningkatan kes COVID-19 yang membimbangkan di negara ini.





Add Comment