Bola Sepak Terkini

MFL umum penambahan kuota pendaftaran pemain tempatan


LIGA BOLASEPAK MALAYSIA (MFL) mengumumkan keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk meluluskan penambahan kuota pendaftaran pemain tempatan bagi semua kelab yang menyertai Liga Malaysia musim 2026–2027.

Keputusan tersebut menyaksikan jumlah maksimum pemain yang boleh didaftarkan oleh setiap kelab meningkat daripada 33 kepada 38 pemain, melibatkan 15 pemain asing dan sehingga 23 pemain tempatan.Bagaimanapun kuota pemain asing kekal pada 15 pemain seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Sebelum ini, setiap kelab dibenarkan mendaftarkan 33 pemain yang terdiri daripada 15 pemain asing dan 18 pemain tempatan. Penambahan lima kuota baharu ini adalah khusus untuk pemain berstatus tempatan sahaja serta mematuhi syarat-syarat Financial Fair Play (FFP).

Keputusan ini dibuat susulan permohonan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC yang bakal mengharungi jadual padat apabila masing-masing bersaing dalam kejohanan AFC Champion League Elite dan AFC Champion League 2, AFF Shopee Cup serta pertandingan peringkat domestik.

Ahli Lembaga Pengarah MFL mengambil kira pelbagai faktor dalam meluluskan permohonan berkenaan termasuk kedudukan Kuching City FC yang tidak memiliki pasukan Reserve Club dan hanya bergantung kepada pasukan Piala Presiden dan Piala Belia untuk bersaing dalam pertandingan Liga Malaysia serta kejohanan antarabangsa.

Selain itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL juga melihat kepentingan penambahan kuota ini dalam membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan yang masih belum mempunyai kontrak, selain memberi ruang kepada pemain daripada pasukan Piala Presiden dan Piala Belia yang telah melepasi had umur untuk didaftarkan bersama pasukan utama.

Dengan penambahan kuota pemain ini, ia turut membantu JDT dan Kuching City FC yang akan mewakili negara di kejohanan kelab AFC bersaing dengan lebih kompetitif bagi meningkatkan mata ranking negara serta memburu kejuaraan di pentas Asia Tenggara.

Walaupun kuota maksimum ditetapkan kepada 38 pemain, setiap kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi jumlah tersebut.

Pendaftaran pemain adalah tertakluk kepada keperluan, kemampuan kewangan kelab serta pematuhan terhadap mekanisme Financial Fair Play (FFP), termasuk pelaksanaan Salary Cap sebanyak 80 peratus bagi musim 2026–2027 di mana jumlah minimum pendaftaran pemain bagi setiap kelab kekal seramai 20 pemain.

Untuk makluman, Jendela pendaftaran pertama pemain bagi Liga Malaysia 2026–2027 akan berakhir pada 3 September 2026, Khamis.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment