
KETUA jurulatih futsal kebangsaan, Rakphol Sainetngam menyenaraikan 14 pemain bagi membawa cabaran Malaysia pada Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025 di Nonthaburi, Thailand bermula 23 hingga 29 Disember 2025.
Selain Rakphol yang menggalas misi penting, skuda futsal negara juga dibantu oleh dua penolong ketua jurulatih iaitu Muizuddin Mohd Haris dan Mohd Taufik Yaiyah serta jurulatih penjaga gol, Jasman Patmee Mohamed Meera.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Haji Mohd Hisamudin Yahaya yang merupakan Exco FAM juga menggalas tugas sebagai Pengurus Pasukan dengan dibantu oleh Mimi Afzan Afza selaku Penolong Pengurus Pasukan.
Skuad futsal Harimau Malaya B-19 akan berlepas ke Bangkok, Thailand pada Selasa, 16 Disember 2025 bagi persiapan terakhir selama seminggu di sana dengan beberapa siri perlawanan persahabatan telah diatur sebelum saingan Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025 bermula pada 23 Disember.
Hanya enam pasukan akan menyertai pertandingan edisi sulung ini selepas Kemboja menarik diri menjadikan Kumpulan A kekal disertai tiga pasukan iaitu tuan rumah Thailand, Vietnam dan Brunei manakala Kumpulan B kini tinggal tiga pasukan iaitu Indonesia, Myanmar dan Malaysia.
Bagi saingan Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar pada Selasa, 23 Disember, diikuti aksi kedua, Myanmar lawan Indonesia pada Rabu, 24 Disember dan aksi terakhir kumpulan, Malaysia menentang Indonesia pada Khamis, 25 Disember 2025.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir pada Sabtu, 27 Disember manakala aksi penentuan tempat ketiga dan final akan berlangsung pada Isnin, 29 Disember 2025. Kesemua perlawanan di Stadium Nonthaburi, Thailand.









Add Comment