
ISU membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya tidak menjejaskan mentaliti semua pemain untuk terus mencipta kemenangan berdepan Nepal, di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.
Keyakinan ini disuarakan Ketua pasukan Harimau Malaya, Dion Cools yang pada masa sama menegaskan suasana dalam kem latihan juga kekal positif dan sama seperti sebelum munculnya isu dokumentasi tujuh pemain terbabit dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Saya berasa sudah tentu pemain tahu mengenai isu itu tetapi kami tidak bercakap mengenainya. Seperti yang kami katakan, kami di sini untuk melakukan tugas kami.
“Kami di sini untuk berlatih dan kami gembira bersama kerana kami suka suasana dalam pasukan. Kami juga luangkan masa bersama, suasananya bagus, latihan berjalan lancar dan saya berasa semua orang ada mentaliti yang sama iaitu nak menang perlawanan seterusnya.
“Kami hanya fikirkan untuk memberikan keputusan yang baik kepada pasukan dan memastikan pasukan layak ke Piala Asia,” katanya.
Isu membabitkan Gabriel Palmero, Facundo Garcas, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel masih belum berakhir dengan Jawatankuasa FIFA pada 3 November lalu mengumumkan menolak rayuan daripada tujuh pemain terbabit dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Keputusan itu menyaksikan hukuman penggantungan 12 bulan dan denda sebanyak CHF 2,000 (RM10,411) yang dikenakan FIFA ke atas tujuh pemain terbabit kekal manakala FAM didenda CHF 350,000 (RM1.8 juta).
Aksi berdepan Nepal yang berada di ranking 180 dunia menjadi perlawanan kelima Harimau Malaya dalam Kumpulan F dengan skuad kendalian Peter Cklamovski membawa misi untuk meneruskan momentum kemenangan.





Add Comment