
KEJUARAAN MSO Kids’ Warrior Silat Fest 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh warna-warni selepas tiga hari penganjuran yang meriah di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan.
Acara berprestij ini telah menghimpunkan seramai 1,500 pesilat cilik dan remaja berusia 6 hingga 16 tahun dari seluruh negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform pembangunan bakat silat muda terbesar di Malaysia.
Dengan tema “Di Sini Lahirnya Pendekar & Srikandi”, kejohanan yang dianjurkan oleh MSO Group Asia bersama Kelab Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia dengan sokongan penuh daripada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).

Kejohanan ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam mencungkil bakat muda, memperkukuh jati diri bangsa serta mengangkat silat sebagai warisan budaya kebangsaan.
Lebih 10,000 pengunjung hadir sepanjang tiga hari acara, membuktikan minat yang tinggi masyarakat terhadap seni persilatan dan karnival budaya.
Pertandingan melibatkan pelbagai kategori dan peringkat umur, dengan penyertaan daripada sekolah rendah, menengah dan pertubuhan silat tempatan.
Pemenang membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa yang menjadi simbol kejayaan di gelanggang, manakala setiap peserta menerima sijil rasmi MSO Kids’ Warrior Silat Fest 2025.
Majlis Perasmian pada 18 Oktober 2025 telah disempurnakan oleh YBhg. Encik Mohd Al-Hafizi bin Haji Abu Bakar, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
“Kejayaan penganjuran MSO Kids’ Warrior Silat Fest 2025 membuktikan bahawa silat bukan sahaja sukan warisan bangsa, tetapi juga aset pelancongan dan perpaduan nasional.
“Kami berbangga melihat semangat, disiplin dan keberanian yang ditunjukkan oleh para pesilat muda.

“Acara ini akan diteruskan sebagai agenda tahunan yang lebih besar, dengan aspirasi membawa MSO Kids’ Warrior Silat Fest ke peringkat serantau dan antarabangsa,” ujar kenyataan yang dikeluarkan penganjur.






Add Comment