Bola Sepak

FAM kemuka rayuan rasmi kepada FIFA, pandang serius dakwaan pemalsuan dokumen pemain


KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan telah menerima dokumen penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung keputusan tatatertib melibatkan isu kelayakan tujuh pemain kebangsaan yang didakwa memperoleh dokumen secara tidak sah.

Dalam satu kenyataan rasmi, FAM memaklumkan bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan secara rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan oleh FIFA. 

Menurutnya, semua dokumen dan bukti sokongan berkaitan isu berkenaan telah lengkap dan sedia untuk dikemukakan dengan kadar segera.

“FAM memandang serius beberapa kesimpulan yang dinyatakan dalam dokumen tersebut, khususnya dakwaan bahawa para pemain memperoleh dokumen yang dipalsukan atau sengaja berusaha mengelak peraturan kelayakan.

“Kami ingin menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini telah dikemukakan oleh FIFA,” kata kenyataan itu.

FAM turut menjelaskan bahawa segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan dan diuruskan sepenuhnya oleh pihak persatuan mengikut prosedur yang ditetapkan. 

Malah, para pemain didakwa bertindak dengan penuh niat baik dan bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan serta pendaftaran yang dijalankan oleh FAM.

“Penggambaran ini adalah tidak tepat dan tidak adil. Perkara ini akan dibangkitkan secara menyeluruh melalui proses rayuan rasmi,” tambah kenyataan itu lagi.

FAM turut menegaskan komitmen untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak para pemain serta memastikan proses rayuan berjalan dengan telus dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, FAM menjelaskan bahawa kes berkenaan turut melibatkan maklumat rasmi berkaitan prosedur Kerajaan Malaysia bagi pengeluaran dan pengesahan pasport. 

Sehubungan itu, FAM terikat dengan peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966 yang melarang sebarang pendedahan bahan atau proses tersebut tanpa kebenaran.

“Oleh itu, FAM hanya akan berkongsi maklumat berkenaan dengan pihak FIFA bagi tujuan kes ini sahaja,” jelas kenyataan itu.


Add Comment

Click here to post a comment