Bola Sepak Harimau Malaya Terkini

Presiden MPM sedia terajui FAM

Selain Megat D Shahriman, bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial FAM, Sayf Ismail turut menawarkan diri untuk merebut jawatan berkenaan.

PEREBUTAN kerusi no 1 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semakin hangat dan menarik apabila Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menawarkan diri bertanding jawatan tersebut bagi penggal 2025-2029.

Katanya, sebagai individu yang mencintai sukan, beliau sememangnya memasang impian untuk menerajui badan induk sukan nombor satu negara itu.

“FAM sebuah badan induk yang besar, kalau ramai masuk (bertanding) menarik juga. Sehari sebelum tarikh tutup pencalonan mungkin saya akan hantar pencalonan. Kalau ada peluang saya bersedia,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sekiranya dipilih, perkara pertama yang akan dilakukannya adalah menyemak kedudukan kewangan FAM.

“Saya akan membentangkan kedudukan akaun persatuan di hadapan ahli gabungan, kita akan sama-sama melihat apa yang menjadi liabiliti, berapa wang yang ada, ke mana pergi (saluran) wang.

“Kita akan berbincang terutamanya persatuan yang nazak, apa anda mahu, melihat mana ketirisan agar dana dikembali semula kepada ahli gabungan,” ujarnya.

Selain Megat D Shahriman, bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial FAM, Sayf Ismail turut menawarkan diri untuk merebut jawatan berkenaan.

Penyandang jawatan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebelum ini sudah menyuarakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan berkenaan pada kongres pemilihan bagi penggal 2025-2029 yang akan berlangsung 15 Februari depan.

Senarai calon yang akan bertanding bagi penggal 2025/29 akan diketahui hujung Januari ini.

 


Add Comment

Click here to post a comment