Antarabangsa Bola Sepak Harimau Malaya Terkini

Sri Pahang lwn JDT : Keputusan pengadil dan VAR tepat

Unit Pengadil FAM juga telah membuat analisa menyeluruh berkaitan dengan perlawanan tersebut dan mendapati Pengadil dan Pengadil VAR telah menunjukkan satu prestasi yang cemerlang

PENGADIL dan Pengadil VAR telah menunjukkan satu prestasi yang amat baik ketika perlawanan Liga Super 2024-2025, Sri Pahang FC menentang Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa lalu.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, FAM sentiasa mengutamakan persembahan prestasi pengadil yang cemerlang dan tidak berkompromi dalam kualiti pengadil.

“Laporan Penilai Pengadil menunjukkan bahawa Pengadil dan Pengadil VAR telah menunjukkan satu prestasi yang amat baik dalam perlawanan tersebut.

“Keputusan untuk pemberian sepakan penalti pada minit 90’+4 dan layangan tiga kad kuning dalam perlawanan tersebut adalah tepat dan dibuat berpandukan Undang-undang Permainan FIFA dan Protokol VAR.

“Unit Pengadil FAM juga telah membuat analisa menyeluruh berkaitan dengan perlawanan tersebut dan mendapati Pengadil dan Pengadil VAR telah menunjukkan satu prestasi yang cemerlang,” katanya.

Dalam pada itu, Dato’ Sivasundaram berkata, FAM juga telah menyediakan program-program pemurnian dan pemulihan untuk pengadil-pengadil Liga Malaysia demi memastikan kualiti kepengadilan di negara ini sentiasa dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Antara program-program tersebut ialah ‘Pre-match Debriefing’, ‘Post Match Debriefing’, ‘Match analysis’ dan ‘ Refresher Course’ yang mana ia dibuat setanding dengan penanda aras yang ditetapkan oleh AFC dan FIFA,” ujarnya.

Tambah Dato’ Sivasundaram, FAM dan MFL telah menjalankan “road-show” iaitu Taklimat Undang-undang Perlawanan dan VAR Protokol untuk ke semua pasukan yang bertanding di Liga Malaysia 2024-2025.

“Ia dijalankan dengan objektif untuk memberi pendedahan dan pemahaman tentang pengendalian dan penggunaan teknologi VAR dalam Liga Malaysia 2024-2025.

“Setakat ini sebanyak 141 perlawanan telah dilangsungkan yang menggunakan teknologi VAR . Situasi ini seharusnya telah memberi ruang yang baik bagi setiap pasukan yang terlibat dalam Liga Malaysia untuk memahami protokol VAR,” jelas beliau.

Pada masa yang sama, Dato’ Sivasundram juga mengingatkan bahawa FAM sedia memberi khidmat nasihat dan bantuan kepada mana-mana pasukan yang ingin mengetahui berhubung dengan penggunaan teknologi VAR dan Protokol di Liga Malaysia 2024-2025.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading