
KUALA LUMPUR – Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi dan Pemain Perak FC, Tommy Mawat masing-masing digantung tiga perlawanan berikutan pergaduhan melibatkan kedua-duanya pada saingan Liga Super 2024-2025 pada 10 November lalu.
Arif Aiman telah didapati melalukan kesalahan di bawah Artikel 59 Kod Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu kelakuan yang menyinggung dan tidak mematuhi fair play, akibat daripada tindakannya menumbuk muka sebelah kiri Tommy.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu berkata, pemain JDT itu akan menjalani hukuman iaitu penggantungan tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur Rovers FC pada 20 dan 30 November ini.
Menurutnya, satu lagi perlawanan melibatkan aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC pada 8 Disember.
“Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, Tommy juga berdepan kesalahan sama iaitu tindakannya yang menanduk kepala dan mencengkam leher sebelah kiri Arif Aiman.
Menurutnya, penggantungan tiga perlawanan dihadapi pemain Perak FC ini membabitkan perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia menentang Kelantan Darul Naim FC pada 22 dan 30 November ini.
“Satu lagi perlawanan ialah perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC pada 4 Disember.
“Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama dan keputusan ini boleh dirayu,” ujarnya.
Tambah beliau, tarikh-tarikh pergantungan yang dinyatakan di atas adalah tertakluk kepada sebarang pindaan jadual perlawanan.





Add Comment