
SKUAD NFDP A meneruskan rentak kemenangan dalam kategori B-12 tahun Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2024 selepas menewaskan kelab dari Thailand, Pattaya United, 3-0 pada aksi di Padang A, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.
Dua gol jaringan Badrul Hazim Hazimi dan Putra Rayyan Zaftran pada separuh masa kedua sudah cukup buat skuad kendalian Abdul Ghani Malik meraih mata penuh selepas dua perlawanan.
Keputusan ini juga mengulangi prestasi perlawanan pertama ketika berdepan Singapore FA dengan kemenangan bergaya, 5-2.
Bagi Abdul Ghani, kemenangan kedua diraih memberikan motivasi penuh untuk pasukan memburu tiga mata berdepan kelab dari Indonesia, Asiop Academy, esok.
“Syukur Alhamdulillah apa yang dirancang berjaya diterjemahkan barisan pemain dengan usaha yang berterusan sehingga gol berjaya dihasilkan.
“Saya selalu ingatkan pemain agar jangan mudah putus asa dan teruskan mencuba sehingga menjadi kenyataan, akhirnya tiga gol berjaya dijaringkan pada separuh masa kedua,” katanya.

Ujarnya lagi, berdepan kelab dari Indonesia pada perlawanan ketiga, sudah tentu kemenangan hatrik menjadi sasaran.
“Mengatasi Pattaya United (3-0) menaikkan motivasi buat pemain dan memberi peluang buat saya menurunkan pemain-pemain yang belum beraksi untuk melihat serta menilai kemampuan mereka.
“Sebenarnya kesemua pemain kita mampu menggalas tugas yang diberikan,” katanya.
Sementara itu bagi Ketua jurulatih Pattaya United, Chokchai Tespan menyifatkan bukan tugas mudah buat barisan pemainnya berdepan NFDP A.
“Pemain saya agak tertekan dengan corak pemain lawan (NFDP A) dan dapat dilihat gagal menembusi bahagian tengah menyebab kami banyak bertahan.
“Kualiti permainan lawan hari ini sangat berbeza berbanding semalam apabila menewaskan Asiop Academy (2-1), ini kami perlu akui memandangan NFDP A adalah pasukan terbaik,” jelasnya.

Pada aksi yang berlangsung di Padang A, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, tiada sebarang gol terhasil dengan permainan lebih banyak tertumpu dibahagian tengah dengan perlawanan yang seimbang.
Gol yang dinantikan NFDP A akhirnya muncul menerusi pemain gantian Badrul Hazim yang melakukan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gawang Pattaya United, Khomkit Mangkasat pada minit ke-52.
Tuan rumah terus selesa didepan menerusi Putra Rayyan yang menjaringkan gol menerusi sepakan penalti selang lima minit kemudian untuk kedudukan 2-0.
Ketika perlawanan bakal ditamatkan, Badrul Hazim sekali lagi mencetak gol peribadi kedua dan ketiga buat pasukan pada masa kecederaan babak kedua untuk kemenangan mutlak, 3-0 ke atas Pattaya United.





Add Comment