Bola Sepak

Subkhiddin sifatkan keputusan Nazmi tepat tidak hadiahkan sepakan penalti


Tangkap layar insiden bola seakan terkena tangan pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shahrul Saad.

KUALA LUMPUR – Keputusan pengadil, Nazmi Nasarudin yang tidak memberikan sepakan penalti kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC atas insiden bola seakan terkena tangan pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shahrul Saad disifatkan tepat.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh berkata, perkara itu diputuskan selepas membuat semakan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).

“Bukan semua insiden bola terkena tangan boleh dianggap sebagai kesalahan. Adakah pemain sengaja menggunakan tangannya untuk menghalang pemain lawan daripada mendapatkan bola?

“Kita kena pertimbangkan di mana pemain seharusnya meletakkan tangan apabila menjangkakan mereka bermain seperti biasa.

“Menggunakan tangan boleh dibenarkan (justifiable) apabila ia membantu pemain mendapat keseimbangan di udara apabila cuba merebut bola dengan pemain lawan.

“Ini sangat penting dan Nazmi mengambil keputusan yang betul,” kata Subkhiddin yang dipetik melalui Sukan BH pada Sabtu.

Terdahulu,  bekas penyerang JDT, Safee Sali menyifatkan KDA FC seharusnya diberikan sepakan penalti selepas bola dikatakan terkena tangan pertahanan JDT, Shahrul Saad pada aksi separuh akhir pertama Piala FA, malam tadi.

Justeru, Safee yang juga bekas penggempur Harimau Malaya terkejut dengan Nazmi yang tidak memberi sepakan penalti selepas meneliti VAR. 

Insiden itu tercetus selepas Shahrul dan pemain KDA FC, Fayyadh Zulkifli masing-masing sedang merebut bola ketika KDA FC melancarkan serangan ke arah gawang gol JDT.

Perlawanan itu bagaimanapun berkesudahan JDT menang 2-1 selepas pemain gantian, Romel Morales menjaringkan gol kemenangan Harimau Selatan sebelum wisel penamat ditiupkan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading