Bola Sepak

Hamidin, Pau bincang perancangan Harimau Malaya di Sepanyol


FOTO FAM

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah mengadakan pertemuan dengan pemangku ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti Vicente di Mallorca, Sepanyol, pagi Rabu.

Ia sebagai langkah segera bagi membincangkan hala tuju dan perancangan skuad Harimau Malaya selepas peletakan jawatan Kim Pan Gon sebagai ketua jurulatih kebangsaan seperti yang diumumkan pada satu sidang media khas di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam.

Hamidin yang merupakan Chef de Mission (CDM) atau Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 ketika ini berada di Sepanyol bagi memantau skuad berbasikal trek negara yang sedang menjalani latihan di sana sebelum berangkat ke Paris.

“Kebetulan juga Pau Marti sedang pulang bercuti di Sepanyol dan saya terus menghubungi beliau untuk datang ke Mallorca, hari ini bagi membincangkan serba sedikit hala tuju pasukan dan perancangan beliau selepas diumumkan sebagai pemangku ketua jurulatih kebangsaan bagi menggantikan Pan Gon.

“Biarpun kami berdua masih terkejut dengan keputusan drastik Pan Gon untuk meninggalkan pasukan, Pau Marti menyatakan bahawa beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab baharu ini dan mempunyai misi untuk terus memperkasakan skuad Harimau Malaya,” katanya.

Jelasnya, beliau akan terus memberikan sokongan dan perhatian penuh terhadap segala keperluan skuad Harimau Malaya dalam memastikan ranking FIFA terus dapat diperbaiki, selain persiapan bagi menghadapi Pestabola Merdeka 2024 pada September ini dan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, November depan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pan Gon kerana sepanjang dua setengah tahun beliau bersama kita, ranking Harimau Malaya telah meningkat baik dan Malaysia berjaya layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun. Sumbangan besar beliau tidak akan kita lupakan.

“Cuma saya sedikit terkilan kerana beliau sebelum ini dengan penuh komited menyatakan mahu terus mengendalikan skuad Harimau Malaya sehingga tamat kontraknya pada Disember 2025.

“Tapi jurulatih datang dan pergi. Itu hakikat yang perlu kita terima. Jadi kini walaupun Harimau Malaya tanpa Pan Gon, saya tetap mengharapkan agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan padu kepada Pau Marti dan skuad Harimau Malaya bermula dari Pestabola Merdeka 2024 pada September ini.

“Saya yakin dan percaya bahawa Pau Marti dan barisan kejurulatihan sedia ada termasuk E. Elavarasan akan meneruskan kesinambungan dan legasi yang ditinggalkan oleh Pan Gon bagi membawa cabaran skuad Harimau Malaya selepas ini,” jelas beliau.


Add Comment

Click here to post a comment