Bola Sepak

Puma Orbita MFL 1 kekal bola rasmi Liga Malaysia 2024-2025


FOTO MFL

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) memulakan musim baharu dengan pelancaran bola rasmi Liga Malaysia 2024-2025 iaitu PUMA Orbita MFL 1.

Jenama sukan global PUMA | ACTIVE SPORTS telah menjadi penyedia dan penaja bola perlawanan rasmi dengan teknologi dan reka bentuk terkini untuk semua perlawanan melibatkan pertandingan elit Liga Malaysia selain turut pernah menjadi bola edisi khas sempena saingan 100 tahun TM Piala Malaysia 2021.

MFL adalah liga bola sepak pertama di Asia yang menggunakan bola perlawanan rasmi rekaan PUMA menyaksikan ini adalah musim ketiga kerjasama ini terjalin menerusi PUMA MFL Accelerate 21.1 Pro yang digunakan sebagai bola rasmi Liga Malaysia 2022.

Penggunaan PUMA Orbita MFL 1 selaku bola rasmi menjadikan Liga Malaysia turut mengikuti jejak langkah dua liga terkemuka dunia iaitu LaLiga di Sepanyol dan Serie A di Itali selain pertandingan EFL termasuk Sky Bet Championship, League One, League Two, Carabao Cup dan Papa John’s Trophy.

Menggabungkan warna ikonik kuning, merah, putih dan biru yang diilhamkan daripada bendera kebangsaan iaitu Jalur Gemilang, PUMA ORBITA MFL 1 menampilkan reka bentuk berani dan rekaan grafik yang menarik dengan warna asas putih.

Logo PUMA berwarna kuning terang pula melengkapkan lagi penampilan yang menakjubkan bola rasmi Liga Malaysia 2024-2025.

“PUMA Orbita MFL 1 telah berjaya membantu para pemain untuk memperagakan prestasi terbaik mereka di atas padang sepanjang musim 2023 untuk Liga Malaysia.

“Jadi, memasuki musim ketiga bersama PUMA, saya percaya jalinan kerjasama ini akan terus memberi impak positif selain dengan warna ikonik yang ada pada bola ini melambangkan Jalur Gemilang untuk menyuntik semangat jati diri yang lebih tinggi dalam diri pemain.

“Saya berharap semua kelab dan para pemain akan dapat mempersembahkan aksi yang lebih memberangsangkan menerusi bola rasmi PUMA ini sekali gus melonjakkan lagi mutu kualiti liga kita,” kata Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan.

Dato’ Ab Ghani telah menerima bola rasmi PUMA Orbita MFL 1 yang diserahkan secara rasmi oleh Encik Murugeson Sithambaram selaku Pemilik Active Sports Centre sebagai simbolik perasmian bola rasmi Liga Malaysia 2024-2025 pada Rabu, 3 April 2024.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading