SELARI dengan misi untuk terus memartabatkan lagi bola sepak negara, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meluangkan masa dengan sesi khas makan malam dan berkongsi idea bersama bekas pemain Harimau Malaya era 70an, 80an, 90an dan awal tahun 2000 di hotel penginapan skuad Harimau Malaya.
Seramai 16 bekas pemain Harimau Malaya yang hadir iaitu Datuk Santokh Singh, Datuk Wira Soh Chin Ann, Datuk Hassan Sani, Bakri Ibni, Datuk Jamal Nasir, Datuk Zainal Abidin Hassan, Datuk K. Rajagobal, Datuk Subadron Aziz, Azman Adnan, Ahmad Shahrul Azhar, Datuk Dollah Salleh, Malek Rahman, Reduan Abdullah, Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan Shukor Adan.
Hamidin berkata, Kim Pan Gon dan pemain kebangsaan berpeluang berada di bawah satu bumbung bersama legenda negara yang suatu ketika dahulu penuh inspirasi dengan semangat juang yang sangat tinggi.
“Sempena memperingati jasa wira negara ini dan seiring dengan final Pestabola Merdeka, saya satukan legenda dan pemain sekarang agar kita dapat sama-sama mendapatkan buah fikiran dalam menaikkan lagi prestasi dan mutu bola sepak negara khususnya Harimau Malaya.
“Selain berpeluang beramah mesra dan saling mengenali antara satu sama lain, sesi ini membuka ruang untuk setiap bekas pemain yang hadir termasuk jurulatih Kim Pan Gon menyuarakan pandangan secara telus dan terbuka dalam usaha bersama memajukan serta memperbaiki lagi prestasi Harimau Malaya.

Add Comment