
KETUA jurulatih skuad Bawah 22 tahun negara (B-22), E Elavarasan menyifatkan sasaran mara selaku dua pasukan terbaik dipentas final acara bola sepak Sukan SEA 2023 di Kemboja sebagai cabaran yang realistik untuk dicapai.
Tegasnya, keyakinan ini berdasarkan kepercayaan terhadap anak buahnya yang dilihat mampu merealisasikan sasaran itu dengan persiapan rapi yang dilakukan sekali gus memperbaiki pencapaian edisi 2021 di Hanoi.
“Kali terakhir kita jadi juara adalah pada edisi 2011 dan sekarang sudah tahun 2023. Sudah pasti sasaran yang diletakkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu wajar.
“Bagi pandangan barisan kejurulatihan, sudah tentu kami akan buat yang terbaik untuk capai KPI (petunjuk prestasi utama) terbabit,” ujarnya mengulas persiapan skuadnya ke Sukan SEA Kemboja, Mei ini.
Skuad B-23 gagal menempah tiket ke final apabila tewas 1-0 di tangan Vietnam pada aksi separuh akhir dan lebih mengecewakan lagi pulang tanpa sebarang pingat dari Hanoi setelah dikecewakan Indonesia 3-4 menerusi sepakan penalti penentuan dalam perebutan pingat gangsa.
Add Comment