
STADIUM Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, Johor berkemungkinan dipilih sebagai venue bagi aksi persahabatan membabitkan skuad Harimau Malaya pada jendela perlawanan antarabangsa, Mac ini.
Namun begitu beberapa stadium lain antaranya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, Terengganu; Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan dan Stadium Hang Jebat, Melaka, turut berada dalam radar FAM.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman menjelaskan perkara itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM pada penghujung bulan ini atau awal Mac.
“Kita sebenarnya belum putuskan mengenai pasukan lawan (aksi persahabatan) dan venue, ia masih dalam peringkat perbincangan.
“Sebenarnya ramai menawarkan venue mereka, tetapi kalau nak katakan stadium yang terbaik setakat ini ialah Stadium Sultan Ibrahim,” katanya pada Majlis Pengumuman Kerjasama FAM dan Joma Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.
Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, secara terbuka di media sosial menawarkan SSI sebagai venue alternatif untuk kegunaan skuad Harimau Malaya sementara menunggu Stadium Nasional di Bukit Jalil siap diselenggara.
Sementara itu, Noor Azman mengesahkan pasukan negara bakal menghadapi dua aksi persahabatan berprofil tinggi pada Mac ini dalam persiapan menghadapi Piala Asia 2023.
Add Comment