Azizulhasni, Bonnie atlet terbaik Anugerah Perpaduan 100Plus SAM 2020/2021


Azizulhasni dan Bonnie dinobatkan atlet terbaik dan atlet para terbaik.

PETALING JAYA – Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) pada majlis Anugerah 100Plus Perpaduan SAM 2020/2021.

Jaguh berbasikal trek berusia 34 tahun itu menewaskan lima calon lain iaitu Lee Zii
Jia (badminton), gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton), Datuk Pandelela Rinong Pamg (terjun) dan Rifdean Masdor (Muay Thai).


Anugerah berkenaan merupakan yang keempat bagi jaguh keirin kelahiran Dungun, Terengganu itu selepas memenangi anugerah yang sama pada 2009, 2017 dan 2019.


Selain pingat perak Sukan Olimpik Tokyo, Mohd Azizulhasni turut mencipta
kejayaan meraih dua pingat gangsa pada Kejohanan Dunia di Berlin 2020, masing-
masing dalam acara keirin dan pecut.


Bagaimanapun, Mohd Azizulhasni tidak dapat hadir pada majlis berkenaan kerana
masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung susulan
disahkan mengalami masalah jantung dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth
Richmond, Melbourne pada 21 April lepas.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah
Mohamed Sadique turut hadir.

Sementara itu, Bonnie Bunyau Gustin menepati ramalan memburu gelaran
berganda apabila sekali lagi muncul Atlet Para Terbaik pada majlis yang diadakan
di sebuah hotel terkemuka hari ini.

Atlet powerlifting negara itu mencipta pelbagai kejayaan cemerlang sepanjang
tahun 2020 dan 2021 dengan mencipta sensasi tersendiri apabila menyumbang
pingat emas pertama kontinjen negara di temasya Sukan Paralimpik Tokyo dalam
kategori 72 kilogram.

Beliau turut memecahkan rekod Paralimpik dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227kg, dengan melakukan angkatan 228kg dalam percubaan ketiganya.


‘Badang kerdil negara’ itu terus mengukir nama Malaysia di mata dunia dengan
menampilkan prestasi luar biasa apabila memecahkan rekod dunia pada kejohanan
Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai Ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sekali gus merangkul pingat emas acara berkenaan.


Kejayaan Bonnie Bunyau melakukan angkatan bebanan seberat 230 kilogram (kg) dalam kategori lelaki atas 72 kg itu telah memadamkan rekod dipegang atlet Iran Roohallah Rostami yang melakukan angkatan seberat 229 kg di Sukan Para Asia Jakarta, Indonesia pada 2018.


Kemunculan Bonnie Bunyau di pentas pertandingan tidak pernah mengecewakan apabila meraih pingat emas di Piala Dunia Powerlifting Para di Bangkok selain turut menjuarai Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2021 di Tbilisi, Georgia.


Kedua-dua mereka masing-masing menerima trofi dan wang tunai berjumlah
RM10,000 yang disampaikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah
Mohamed Sadique.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah
Mohamed Sadique bergambar bersama barisan kepimpinan SAM.


Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) Datuk Seri Ti Lian Ker serta
Pengarah Perhubungan Kerajaan Industri dan Hal Ehwal Halal F&N Holding Berhad,
Datuk Raffiq MD Ariff.


Selain Anugerah Atlet Terbaik, SAM juga tidak lupa menghargai jasa dan
sumbangan tidak terhingga yang diberikan oleh dua tokoh hebat dalam bidang sukan menerusi Anugerah Khas kepada mendiang Datuk Sieh Kok Chi dan
Allahyarham Datuk Zolkples Embong.


Pemergian mendiang Datuk Sieh Kok Chi yang terkenal dengan julukan ‘Wikipedia’
sukan Malaysia dan Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong pastinya meninggalkan ruang besar dalam arena sukan negara dan jasa dan sumbangan
kedua-dua tokoh sukan negara ini tidak terhingga buat keluarga kewartawanan
sukan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: