
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Kia menerusi syarikat pengedarnya, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd (DJM), anak syarikat kepada Bermaz Auto Berhad (BAuto).
Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin berkata, menerusi kerjasama bersama DJM, persatuan itu akan meraih faedah terutama sekali buat Unit Pasukan Kebangsaan yang diketuai oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon bagi melakukan pemerhatian pemain-pemainnya di seluruh negara selain melancarkan kerja-kerja logistik Unit Pentadbiran FAM.
Menurutnya , kerjasama bersama DJM ini telah bermula pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu namun kerjasama berkenaan ketika itu khusus untuk tempoh kejohanan sahaja.
“Menerusi kejayaan serta persembahan berkualiti Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia berjaya menarik perhatian DJM untuk meneruskan jalinan kerjasama bersama kami sekali gus menjadi rakan rasmi automotif FAM dan Harimau Malaya.
“Sebagai presiden FAM, sudah tentu jalinan kerjasama ini adalah pencapaian yang amat membanggakan di mana FAM dapat meluaskan lagi hubungan strategik bersama syarikat-syarikat gergasi di luar sana.
“Harapan saya menerusi jalinan kerjasama bersama DJM, ia dapat memberi motivasi kepada skuad Harimau Malaya untuk terus melakukan yang terbaik demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” ujar beliau.

Add Comment