Lain-Lain

Kuartet ‘bidan terjun’ UPM tampil luar biasa


FOTO SUKIPT


 

TANJONG MALIM – Universiti Putra Malaysia (UPM) terlalu unggul pada hari pertama acara olahraga yang mula membuka gelanggang pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 apabila merangkul enam daripada 11 pingat emas yang ditawarkan pada Selasa.

Atlet acara 5,000 meter jalan kaki wanita Nurul Alyahaziqah Kamarazaman memulakan pesta menuai emas buat UPM pada sebelah pagi, namun tumpuan dicuri oleh dua kuartet ‘bidan terjun’ mereka yang menguasai acara 4×100 meter.

Kedua-dua kuartet 4×100 meter UPM terpaksa dibentuk dari kalangan atlet acara lain kerana mereka kekurangan atlet pecut.

Dalam acara 4×100 meter wanita UPM yang dianggotai Darshini K. Murugan, Nor Fatihah Mohd Haniff Winnie Eng May Xin dan Mandy Goh Li menang emas dengan masa 50.00 saat, mengalahkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan yang merekodkan masa 52.05 saat manakala Universiti Sultan Idris (UPSI) yang mencatatkan masa 53.75 saat membawa pulang pingat gangsa.

Anggota skuad UPM, Nor Fatihah tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya dan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai sesuatu yang istimewa kerana mereka tidak pernah berlatih bersama.

“Sebenarnya saya tidak menjangka untuk menang memandangkan saya adalah seorang atlet merejam lembing dan tidak yakin untuk bertanding dalam acara 4×100 meter, namun sokongan daripada rakan-rakan menaikkan keyakinan saya,” katanya.

Selepas kejayaan pasukan wanita mereka, penyokong UPM kemudian meraih kegembiraan berganda apabila kuartet lelaki mengulangi pencapaian itu.

Dianggotai oleh Benedict Ian Gawok, Mohd. Rizzua Haizad Muhamad, Andre Anura Anuar dan Muhammad Zulfiqar Ismail, mereka mencecah garisan penamat dengan masa 42.02 saat, meninggalkan UPSI (42.17 saat) yang berada di kedudukan kedua manakala kuarter Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menamatkan perlumbaan tersebut ditangga ketiga dengan mada 43.26 saa).

Pelari utama UPM, Zulfikar berkata pasukannya tidak membuat persediaan mencukupi untuk menghadapi SUKIPT, di samping memerlukan atlet daripada acara lain iaitu Andre Anura yang merupakan pemegang rekod lompat jauh kebangsaan untuk membantu memperkuatkan kuartet UPM.

“Cabaran utama kami ialah tidak menjalani latihan yang mencukupi, namun saya berbangga kerana kami berjaya menyumbangkan emas buat universiti kami,” katanya.

Pingat emas UPM semalam turut disumbangkan oleh atlet lontar peluru wanita Nani Sahirah Maryata serta atlet kebangsaan R. Kitana (lompat jauh). Muhammad Firdaus Mohamad Zemi pula melakukannya dalam acara 400 meter lelaki.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: