Bola Sepak

Malayan Tigress perlu diperkemaskan bermula akar umbi, jurulatih


FOTO FAM

Simposium Pemerkasaan Wanita yang diadakan sempena Ulang Tahun ke-20 Persekutuan Bolasepak Asia Timur (EAFF) di Tokyo, Jepun pada Isnin menjadi pendedahan terbaik untuk memartabatkan lagi bola sepak wanita Malaysia ke peringkat lebih baik.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin berkata, bola sepak wanita di Asia Timur perlu terus diperkasakan lagi terutama dalam merapatkan jurang perbezaan dengan bola sepak lelaki.

Menurutnya, Malaysia dan juga negara Asia Timur perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam menyahut seruan ini.

“Berdasarkan simposium pembentangan oleh Pengerusi WE League Jepun, Kikuko Okajima mendapati indeks jurang perbezaan jantina di Malaysia agak tinggi ialah 103.

“Kita juga perlu memperbaiki cara dalam menaikkan lagi bola sepak wanita, terutama dari segi promosi dan laporan oleh media tempatan. 

“Okajima mengambil contoh terbaik bola sepak wanita di negara USA dan Sepanyol,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hamidin juga mengambil peluang pendedahan ini untuk mengenalpasti ciri-ciri kepimpinan kejurulatihan buat bola sepak wanita untuk memartabatkan lagi bola sepak Malaysia ke peringkat lebih baik.

“Kita perlu memperbaiki Malayan Tigress, pasukan ini perlu diperkemas agar terus mengaum dan gerakan ini perlu dimulakan segera dari bawah terutama di peringkat akar umbi dan kejurulatihan.

“Bagaimanapun seperti yang dibentangkan di simposium ini, gerakan memperkasakan bola sepak wanita perlukan kerjasama dan sokongan semua pihak terutama dalam pendedahan di media,” katanya. 

Hamidin turut berada di Tokyo bagi menyantuni undangan EAFF sempena Ulangtahun ke-20 Persekutuan itu dan menyaksikan perlawanan kejohanan EAFF E-1.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: