Golf Komuniti

Hadiah Perodua Ativa ‘hole in one’ di Kejohanan Golf Tourism Selangor


Hadiah menarik menanti peserta yang menyertai Kejohanan Golf Tourism Selangor kali ke-4 iaitu sebuah Perodua Ativa bagi kategori ‘hole in one’ yang akan berlangsung pada 23 Julai depan di Kelab Golf Seri Selangor (KGSS), Kota Damansara, Petaling Jaya.

Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor dalam satu kenyataan berkata, seramai 120 pemain golf dijangka menyertai kejohanan tahun ini, termasuk wakil daripada sektor awam dan swasta, pemain golf dan selebriti terkenal, pemain golf dari ekspatriat, agensi pelancongan, dan pemain dari seluruh negara.

Menurutnya, seperti tahun-tahun sebelum, kejohanan ini dianjurkan mengikut profesional standard yang dikawal dan dipantau oleh pihak berkuasa.

“Kejohanan Golf Tourism Selangor ke-4 juga merupakan satu cara untuk menunjukkan sokongan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), yang turut meraikan ulang tahun ke-16 tahun ini.

“Dengan idea ‘Pusing Selangor Dulu’, kami menggalakkan peserta bukan sahaja menunjukkan kemahiran bermain golf mereka, tetapi juga melawat tapak pelancongan di sekitar padang golf yang kami pilih setiap tahun.

“Sebagai contoh, terdapat beberapa tarikan pelancongan seperti Muzium Coklat di Kota Damansara, Kidzania, The Curve, 1 Utama, dan Tropicana Gardens di lokasi acara kami hari ini,” katanya.

Tambahnya, selain berpeluang memenangi beberapa kategori dalam kejohanan golf ini, pemain golf juga boleh memenangi hadiah lumayan dalam sesi cabutan bertuah yang diadakan semasa acara tersebut.

“Selangor komited untuk meneroka potensi dalam sukan dan pelancongan golf, yang menyemarakkan ekonomi negeri melalui pelancongan domestik dan antarabangsa. Penonton golf yang ramai di negeri ini dan di seluruh negara mampu menarik pelancong sukan.

“Dengan Kelab Golf yang banyak di negara ini, adalah mudah untuk mengembangkan pelancongan golf. Ini adalah selaras dengan kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ dan ‘Splendid Selangor’ Tourism Selangor, yang semakin popular di kalangan pengembara domestik dan antarabangsa serta menjana gelombang di media sosial,” katanya lagi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: