
Oleh : SUBKHI SUDARJI
KEPUTUSAN sama ada hukuman bakal dikenakan atau sebaliknya ke atas bekas pertahanan Harimau Malaya, Rizal Ghazali yang menolak tawaran menyertai kem skuad kebangsaan bermula 14 Mac lalu akan diketahui esok.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, keputusan mengenai perkara ini akan diumumkan esok.
“FAM akan mengadakan mesyuarat esok dan membuat keputusan,” katanya ringkas ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pagi tadi.
Terdahulu, FAM mengesahkan sudah menerima surat makluman dari bekas pemain Kedah yang kini Bergama Sabah FC itu, Jumaat lalu dengan alasan masalah kesihatan yang dihadapi keluarganya.
Rizal sebelum ini memberi bayangan bahawa penolakannya menyertai kem latihan skuad kebangsaan kemungkinan besar berkaitan kesihatan ayahnya.
Tanpa membuat sebarang penjelasan rasmi mengenai punca penolakan tersebut, pemain Sabah FC berusia 30 tahun itu berkongsi sekeping gambar ayahnya berada di hospital, menjalani rawatan.
“Semoga sihat seperti biasa, jauh mana pun tetap anak mu berdoa Amin,” tulis Rizal di Instagramnya.
Rizal yang diletakkan dalam senarai menunggu menyertai kem latihan Harimau Malaya bagi perlawanan persahabatan di Singapura bermula esok menolak pelawaan bagi menggantikan Syahmi yang memohon pengecualian susulan kelahiran bayi kembar tiganya.
Namun FAM mengumumkan pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan.






Add Comment