EPL

“Lepaskan Ronaldo mampu selesaikan masalah The Red Devils”


Cristiano Ronaldo

JAMIE Carragher berpendapat Manchester United telah melakukan kesilapan apabila mereka menandatangani semula Cristiano Ronaldo Ogos lalu.

Malah Carragher menggesa kelab supaya menjual Ronaldo pada musim panas ini.

Selepas meninggalkan Old Trafford 12 tahun sebelum itu, Ronaldo kembali ke United disambut dengan penuh teruja oleh peminat-peminat kelab.

Ronaldo membuktikan pada usia 36 tahun (2021) dia masih relevan untuk beraksi dengan baik apabila telah menjaringkan 15 gol dalam semua pertandingan untuk The Red Devils termasuk jaringan pertamanya tahun 2022 ketika aksi menentang Brighton.

Bagaimanapun di sebalik jumlah ini, Carragher menegaskan bahawa United tidak sepatutnya membawa Ronaldo kembali ke kelab dan percaya adalah lebih baik jika kedua-dua pihak ‘berpisah’ pada penghujung musim ini.

Carragher yakin United mampu lebih baik tanpa Ronaldo. Foto: Getty Images

“United membuat kesilapan dengan mendapatkan semula Ronaldo pada musim panas lalu. Ia akan menjadi maslaah lebih besar untuk mengekalkannya musim depan,” tulisnya dalam sebuah kolum bersama The Telegraph.

Menjelaskan kedudukannya, Carragher mengakui bahawa Ronaldo masih ‘salah seorang penjaring terunggul’, tetapi menegaskan bahawa United mampu membuktikan mereka boleh menjaringkan gol tanpanya musim lalu, sebelum mendakwa penyerang Portugal itu telah mengganggu keseimbangan pasukan sejak enam bulan lalu.

“United menjaringkan 121 dalam semua pertandingan pada 2020-2021, jumlah tertinggi mereka selama 14 tahun. Ini kerana mereka adalah sebuah pasukan yang lebih seimbang dan bersatu berbanding daripada sekarang.”

Dengan berbaki kontrak lebih setahun, ditambah dengan pilihan untuk meneruskan musim lagi, Carragher amat sedar bahawa mungkin tidak mudah untuk majikan sekarang melepaskan Ronaldo.

Dia merasakan bahawa beberapa tindakan Ronaldo telah menyebabkan isu yang tidak perlu timbul musim ini, dan tetap bertegas bahawa United akan lebih baik tanpa dia.

“Terdapat ‘bunyi bising’ didengari setiap kali selepas satu keputusan yang mengecewakan.

“Kedengaran juga tentang dia ‘mengambil kira masa depannya’ di penghujung musim ini. Malah turut kedengaran reaksi yang kurang memberangsangkan apabila United menjaringkan gol dan bukan daripada Ronaldo… seperti yang berlaku ketika Marcus Rashford menjaringkan gol kemenangan pada saat akhir menentang West Ham Januari lalu.

Van Nistelrooy ‘dijual’ kerana dikatakan mempunyai keinginan peribadi menjaringkan gol.

“Apabila pengurus mengetepikan pemain berusia 37 tahun, sepatutnya tidak ada sebarang bunyi.

“Tiada pemain tunggal yang boleh jadi lebih besar daripada kelab. Mengambil contoh, pada tahun 2006 Sir Alex Ferguson menjual salah seorang penjaring gol paling prolifik Liga Perdana, Ruud Van Nistelrooy kerana dia merasakan keinginan peribadi penyerang itu untuk menjaringkan gol sekaligus menghalang kemajuan rakan sepasukan yang baru dan lebih muda.

“Melepaskannya akan selesai lebih banyak masalah yang ditimbul,” tulis Carragher.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: