EPL

Salah ‘move on’ kekecewaan dengan Senegal, kembali ke Anfield


Salah mula menjalani latihan bersama kelabnya. Foto: Liverpool FC

Oleh: JJFIRDAUS

TIDAK mengambil lama ‘melayan’ kekecewaan selepas tewas kepada Senegal menerusi penentuan penalti dalam final Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), penyerang Liverpool, Mohamed Salah sudah pun kembali ke pusat latihan.

Salah diterbangkan khas menggunakan pesawat sewa VistaJet yang berlepas dari Lapangan Terbang Yaounde, Cameroon untuk penerbangan terus ke Manchester yang memakan masa kira-kira tujuh jam.

Penyerang prolifik itu membuktikan sikap profesionalnya apabila tidak menunggu lama untuk kembali berlatih bersama kelab meskipun diberikan satu hari rehat daripada bos The Reds, Jurgen Klopp.

Salah bermain hampir setiap minit dalam semua perlawanan Mesir di AFCON termasuk mengharungi 480 minit dalam 12 hari selepas terpaksa bermain dalam empat masa tambahan dan pasukan perubatan kelab pasti akan menilai tahap kecergasannya.

Liverpool telah mengesahkan bahawa Salah kini akan mengikuti latihan pemulihan di
Pusat Latihan AXA dan selepas diperiksa oleh kakitangan medikal kelab, dia mungkin akan diturunkan dalam pertemuan bertemu Leicester City di Anfield, Khamis nanti.

Klopp menerusi kenyataan di laman web rasmi kelab menyatakan bahawa dia merancang untuk menggunakan pemain nombor 11 itu seberapa kerap yang mungkin.

Salah berborak dengan Klopp ketika sesi latihan kelab.

“Saya telah bercakap dengannya dan jawapan pertama dari Salah ialah ‘saya sudah bersedia’. Dia adalah pemain yang berpengalaman dan sejujurnya mempunyai ketahanan fizikal yang luar biasa.

“Kini dia akan mengikuti sesi pemulihan dan kita akan lihat bagaimana keadaannya esok dan dari situ kita akan tentukan.” jelas Klopp.

Dengan kenyataan ini, penyokong Liverpool boleh menarik nafas lega dan boleh menjangkakan Salah akan berada dalam skuad menentang The Foxes dan mungkin akan masuk sebagai pemain gantian.

Liverpool akan menentang Leicester City pada Khamis untuk Liga Perdana Inggeris dan bakal bermain enam perlawanan dalam 17 hari dalam dua pertandingan domestik dan satu perlawanan Liga Juara-Juara UEFA menentang Inter Milan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: