Lain-Lain

Jelajah PGM sediakan 10 kejohanan 2022, Piala Tun Ahmad Sarji buka tirai


JELAJAH Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) tahun ini akan dimulakan dengan kejohanan Piala Tun Ahmad Sarji yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 26 Februari di Saujana Golf and Country Club.

Pengurus Besar PGM Nik Mustapha Nik Mohammed berkata, seramai 144 pemain akan mengambil bahagian dalam acara empat hari itu, yang diadakan sebagai penghormatan dan mengenang Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid sebagai Pengerusi PGM dan sumbangan beliau kepada golf profesional di negara ini.

“Allahyarham Tun (Ahmad Sarji) teguh dan bersemangat dalam menyediakan platform yang boleh dipercayai dan terjamin untuk pemain golf profesional kita bersaing di peringkat lebih tinggi di serantau dan antarabangsa,” katanya pada pelancaran kalendar Jelajah PGM 2022 pada Selasa.

Nik Mustapha berkata, Jelajah PGM yang memasuki tahun ke-12 itu akan mengadakan 10 kejohanan untuk pemain golf lelaki dan lima pertandingan untuk wanita, diadakan sebagai kejohanan tertutup memandangkan perjalanan antarabangsa belum lagi kembali seperti biasa.

“Kami juga merancang untuk mengadakan satu lagi ‘Qualifying School’ pada September dan akan memastikan semua kejohanan ini diadakan berdasarkan garis panduan kesihatan dan keselamatan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya.

PGM turut menerima tajaan sebanyak RM1.395 juta daripada pelbagai entiti untuk kalendar tahun ini.-Bernama


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: