Lain-Lain

“Jauhkan diri dari mereka yang tidak sokong kita”, Nicol terima anugerah gelaran Doktor


Nicol Ann David dianugerahkan gelaran Doktor apabila menerima anugerah Ijazah Kedoktoran Kehormat oleh Universiti Heriot-Watt Malaysia. Foto: Twitter NicolDavid

Oleh: JJFIRDAUS

LEGENDA skuasy negara, Datuk Nicol Ann David telah dianugerahkan gelaran Doktor apabila menerima anugerah Ijazah Kedoktoran Kehormat oleh Universiti Heriot-Watt Malaysia semalam.

Nicol menerima penganugerahan itu dalam Istiadat Konvokesyen Pusat Sains Sosial yang diserahkan oleh Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood atas sumbangan beliau terhadap sukan negara dan sokongan kepada impak pendidikan positif dalam memperbaiki kehidupan.

Selain menerima anugerah tersebut, bekas juara dunia lapan kali itu turut diberikan kesempatan untuk menyampaikan ucapan kepada semua graduan yang hadir dalam konvokesyen itu.

Menerusi hantaran di media sosial, Nicol turut berkongsi kepada pengikutnya intipati ucapan mengenai tiga perkara yang beliau pelajari dari pengalaman 20 tahun beliau dalam sukan skuasy.

“Pertama, hidup ini bukanlah jalan yang lurus. Kita akan menghadapi cabaran dalam apa jua keputusan yang dilakukan. Ada cabaran yang besar dan ada juga yang kecil tetapi kita harus kembali ke landasan kita yang sebenar.

Nicol menyampaikan ucapan kepada semua graduan yang hadir dalam konvokesyen tersebut.

“Dalam hidup ini juga, tiada jalan yang terbaik tetapi keindahan hidup ini adalah dalam mencari kekuatan bagi menghadapi saat sukar. Kerja keras pasti akan memberikan kejayaan dan kita haruslah yakin dalam mengejar impian kita.

“Kedua, jauhkan diri dari mereka yang tidak menyokong kita. Saya berharap kita dapat menggalakkan lebih ramai untuk mempunyai impian yang besar dan bukannya sentiasa mencari alasan mengapa mereka tidak mampu melakukannya.”

“Elakkan dari menjadi individu ini dan jauhkan diri dari mereka yang sering menjatuhkan kita. Mempunyai persekitaran positif boleh membawa banyak perubahan dalam laluan mengejar impian dan cita-cita dan harus dijadikan keutamaan.”

“Ketiga, sentiasa jadi individu yang baik. Tidak kira sebagus mana pun kita, sentiasa berbuat baik dengan orang lain di sekeliling kita. Jika anda mampu menjadi individu yang baik dalam hidup dan juga kerjaya, ianya adalah perkara yang paling penting. Oleh itu kejar impian anda dan jadikan kehidupan ini sangat bermakna.”

Datuk Nicol David dihujani ucapan syabas dan tahniah di laman sosial kerana beliau sememangnya layak untuk menerima penganugerahan ini atas sumbangan beliau yang tidak terhingga kepada negara.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: