Bola Sepak

Liga M3: Kapten Singa Utara seru kembalikan zaman kegemilangan


Azmizi (dua kiri) berjaya memimpin Singa Utara menghadapi beberapa aksi pra musim 2022 sebelum saingan sebenar Liga M3 bermula. Foto: Perlis United FC

Oleh: AMMAR HAZIQ

KETUA pasukan Perlis United Football Club (PUFC), Azmizi Azmi menyeru rakan sepasukannya untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Singa Utara dalam saingan Liga M3 yang akan membuka tirai pada 12 Februari ini.

PUFC bakal membuat penampilan pertama bertemu Real Chukai FC di Stadium Mak Chili di Kemaman, Terengganu.

Pertahanan tengah berusia 35 tahun itu berkata, dia mempunyai keyakinan terhadap pasukan yang dibarisi ramai pemain muda dan juga anak jati negeri tersebut.

“Terima kasih kepada ketua jurulatih kerana memberikan peluang kepada saya untuk beraksi di M3 dan memberikan ruang kepada pemain muda berbakat yang ada di Perlis untuk sama-sama beraksi.

“Pasukan bolasepak Perlis sudah lama tenggelam, kita nak kembalikan zaman kegemilangannya. Kita akan membuat persediaan terbaik bagi memastikan dapat melangkah jauh dalam saingan Liga M3 ini,” katanya yang dipetik melalui Youtube Tok Wan Habaq Mai.

Azmizi yang dikenali Tibo mengakui kagum dengan semangat pemain-pemain muda yang dilihat bersemangat dan memberikan komitmen tinggi semasa latihan dijalankan.

Jelas pemain senior yang pernah beraksi bersama pasukan Kedah, Felda United, Perak dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) itu, dilantik sebagai ketua pasukan bukan satu perkara yang membebankan kepada dirinya.

Azmizi (kiri) dipilih sebagai ketua pasukan PUFC berdasarkan kemampuan dan juga pengalaman luasnya sebagai pemain senior.

“Rasanya (bukan membeban tapi) lebih kepada bersemangat sebagai pemain dan juga anak jati Perlis,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Jurulatih PUFC, Azizul Abidin mengumumkan Azmizi sebagai ketua pasukan berdasarkan kemampuannya membimbing rakan-rakan lain semasa berada di dalam padang.

PUFC diundi dalam Kumpulan B saingan Liga M3 bersama Tok Janggut Warriors FC, Harini KS FC, Kijang Rangers FC, BRM FC, Respect FC, Kuala Lumpur Rovers FC, Bukit Tambun FC, PIB FC dan Real Chukai FC.

Manakala Kumpulan A pula membabitkan Sains FC, Malaysia University, FC Langkawi, Kinabalu Jaguar FC, Imigresen FC, Manjung City FC, Ultimate FC, Tun Razak City FC, Langkawi City FC dan Armed Forces FC.

Semua aksi peringkat kumpulan akan bermain dua pusingan. Empat pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak ke suku akhir sebelum memasuki ke fasa empat terakhir dan seterusnya final bagi mencari juara Liga M3 musim ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading