Bola Sepak

LPFK: PDRM lakar kejutan, Negeri Sembilan menang besar


Pemain-pemain PDRM FC merai kemenangan ke atas Pahang Rangers. Foto: FAM

SIRKIT Ke-4 Cuckoo Liga Premier Futsal Kebangsaan (LPFK) yang berlangsung di Stadium Panasonic, Shah Alam menyaksikan beberapa keputusan yang mengejutkan sekaligus menyaksikan persaingan merebut kejuaraan kembali terbuka.

Pasukan PDRM melakar kejutan terbesar apabila bangkit selepas ketinggalan 1-3 pada separuh masa pertama untuk menewaskan Pahang Rangers 4-3 dan menghadiahkan kekalahan pertama buat skuad pilihan itu.

Dalam satu lagi perlawanan pada Jumaat, Pahang Rangers membelasah Kuala Lumpur 8-1 dan naik ke tangga teratas liga dengan 13 mata hasil empat kemenangan, satu seri dan satu kekalahan selepas enam perlawanan.

Perak juga berjaya mencatat kemenangan sulung apabila menghukum kesilapan penjaga gol Kedah untuk menang 4-3 menerusi jaringan pada minit terakhir untuk bangkit selepas tewas 2-5 kepada KL City FC pada Jumaat.

Negeri Sembilan menang bergaya ke atas pasukan Kuala Lumpur.

Malang buat Kedah dalam sirkit keempat ini apabila sekadar mengutip satu mata dari dua perlawanan selepas diikat Pulau Pinang 5-5 dalam aksi pembukaan pada Jumaat dan jatuh ke tangga kelapan.

Negeri Sembilan pula melonjak ke tangga kedua liga selepas berjaya membelasah Kuala Lumpur 8-1 dan kini berkongsi mata bersama-sama Pahang Rangers dan Pulau Pinang tetapi dibezakan perbezaan jaringan selepas masing-masing bermain enam perlawanan.

Nasib berbeza buat pasukan Kuala Lumpur apabila tewas kedua-dua perlawanan minggu ini dan dibolosi 16 gol dan kekal di tangga terbawah dengan hanya tiga mata dari tujuh perlawanan.

Antara keputusan lain yang mengejutkan adalah dua kemenangan berturut-turut yang berjaya dicatatkan oleh pasukan KPT-PST Mustangs selepas cemerlang membenam KL City FC dan PDRM dengan keputusan 3-1 dan menyaksikan mereka naik ke tangga keenam dengan sepuluh mata.

Berakhir sirkit keempat, Pahang Rangers unggul di takhta liga sementara Kuala Lumpur masih di tangga terbawah dan saingan Sirkit Kelima bakal diadakan pada hujung minggu hadapan juga di Stadium Panasonic, Shah Alam.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: