Komuniti

105 peserta Karate-do sertai pertandingan dalam norma baharu


Ahmad Tajudin bersama peserta cilik Karate-Do yang bakal menjadi atlet pelapis sukan itu di masa hadapan.

Oleh: AMMAR HAZIQ

KEJOHANAN Karate-do Piala Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kembali dipertandingkan pada tahun 2022 baru-baru ini selepas dua tahun tidak dapat diadakan secara bersemuka akibat Covid-19.

Bagaimanapun kejohanan tersebut diadakan dalam norma baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat seperti penjarakan sosial, tidak dibenarkan berkumpul secara besar-besaran dan tiada majlis perasmian bersemuka.

Jurulatih Karate-do UniMAP Ahmad Tajudin Bahrin berkata, seramai 105 peserta menyertai kejohanan tersebut dan hadir daripada kelab-kelab dan Majlis Sukan Negeri seperti Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu dan Perlis.

Menurutnya, sebanyak 40 acara dipertandingkan mengikut kategori usia peserta bermula dari lima tahun hingga 18 tahun ke atas dengan turut disertai atlet Sukan Malaysia (SUKMA) yang menjadikan kejohanan itu sebagai medan pertama percubaan mereka sebelum perlawanan sebenar SUKMA 2022 pada Julai dan Ogos ini.

“Bagi UniMAP pula, kejohanan ini diadakan bagi mencari dan pemilihan bakat baharu atlet karate-do universiti bagi persediaan menghadapi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT).

Pengarah kejohanan, Ruzainah Bastarah menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang kejohanan Karate-do Piala Naib Canselor UniMAP.

“Kejohanan ini juga menjadi perintis kejohanan terbuka Malaysia pada masa hadapan,” katanya pada kejohanan berkenaan yang diadakan di Kejohanan Transformasi Komuniti (UTC) Kangar, di sini.

Terdahulu, Naib Canselor UniMAP Prof. Ts. Dr Zaliman Sauli berkata, Kelab Karate-do UniMAP mula ditubuhkan pada 2015 dan sukan itu mula bergiat aktif pada 2016.

Jelasnya, pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir menyebabkan semua pihak mencari inisiatif mengadakan kejohanan-kejohanan sukan walaupun memerlukan SOP yang ketat.

“Saya percaya penganjuran Kejohanan Karate-do Piala Naib Canselor UniMAP 2022 ini menjadi pemangkin semangat kepada atlet-atlet untuk memberi persembahan terbaik sekaligus menyumbang kepada pelapis atlet karate-do negara selepas hanya mampu berlatih secara dalam talian selama dua tahun,” katanya ketika berucap merasmikan kejohanan berkenaan secara dalam talian.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: