Lain-Lain

Syarat pemilihan atlet diperketatkan – Norza


ATLET individu kategori B perlu berada dalam kelompok enam terbaik untuk layak ke temasya Sukan SEA berbanding lapan terbaik sebelum ini manakala untuk sukan berpasukan, mereka perlu berada dalam kelompok empat terbaik untuk berada dalam kategori A.

Bagi Sukan Asia dan Sukan Komanwel pula, kriteria bagi kategori B diletakkan syarat perlu berada dalam kelompok lapan terbaik berbanding 16 terbaik bagi atlet individu dan pasukan.

Itu antara syarat yang diputuskan Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi  pemilihan atlet bagi kategori B di tiga temasya besar tahun depan iaitu Sukan SEA Vietnam, Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou.

Namun tiada perubahan kriteria bagi kategori A yang mana atlet harus berada minimum dalam kelompok tiga terbaik dalam acara disertai bagi Sukan SEA dan atlet individu dan pasukan perlu berada dalam kelompok empat terbaik bagi Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria berkata, keputusan mengetatkan kriteria pemilihan itu wajar kerana kontinjen negara berdepan jadual padat tahun depan selain pandemik Covid-19 masih belum reda.

“Jadi, kita perlu mengimbangkan antara melihat peruntukan yang harus diberikan kepada setiap sukan terbabit dan kedua, harus melihat kepada keselamatan dan kesihatan atlet.

“Kita mempunyai 250 atlet yang masih dalam program MSN (Majlis Sukan Negara) dan kita ada 193 atlet daripada program pelapis yang boleh diketengahkan.

“Daripada itu, sekiranya mereka mencapai kriteria ditetapkan, jawatankuasa pemilihan beranggapan bahawa mereka boleh dipertimbangkan untuk menjadi sebahagian daripada kontinjen.

“Hari ini kita berbincang mengenai asas dan dasar kepada pemilihan. Kita buat perancangan dan kita akan buat mesyuarat jawatankuasa pemilihan sekali lagi pada Februari, bertemu dengan persatuan sukan untuk mereka membentangkan persiapan dan juga senarai atlet yang mereka akan kemukakan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM.

Untuk rekod, Sukan SEA Vietnam dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei depan, manakala Sukan Komanwel dari 28 Julai hingga 8 Ogos. Sukan Asia Hangzhou pula dijadual berlangsung dari 10 hingga 25 September depan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading