Lain-Lain

Elaun atlet kebangsaan dikurangkan susulan ekonomi semasa negara


Ahmad Shapawi Ismail

MAJLIS Sukan Negara (MSN) membuat semakan semula pemberian elaun kepada atlet kebangsaan yang diberikan kontrak baharu menjalani program latihan tahun ini, berdasarkan prestasi mereka sejak tahun 2018.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, penyelarasan semula elaun itu dilakukan susulan keadaan semasa ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19, selain bencana alam yang melanda baru-baru ini.

“Memang terdapat sedikit penurunan kepada elaun yang lebih bersesuaian kepada prestasi semasa atau terbaik mereka, dan ini lebih adil kepada mereka yang mempamerkan prestasi bersesuaian dengan pingat dimenangi,” katanya pada sidang media pada Rabu.

Menurutnya, pemenang pingat emas Sukan SEA dan Sukan Para Asean akan menerima elaun RM2,000, manakala pemenang pingat perak dan gangsa menerima nilai sama berjumlah RM800.

Katanya, elaun latihan bagi atlet yang merangkul pingat Sukan Asia/Para Asia dan Sukan Komanwel pula adalah sama, menyaksikan pemenang emas menerima kadar elaun RM4,500 diikuti perak RM4,000 dan gangsa RM3,500.

Manakala bakal menanti pemenang pingat emas Sukan Olimpik/Paralimpik sebanyak RM7,500, diikuti perak RM7,000 dan RM6,000 untuk pemenang pingat gangsa.

Selain itu, atlet yang tidak mendapat pingat tetapi masih disenaraikan dalam program latihan MSN bakal mendapat RM800 manakala atlet pelapis RM500.

Ahmad Shapawi menjelaskan jumlah elaun latihan itu tidak termasuk penginapan, makan dan minum, latihan dan prasarana latihan yang disediakan oleh MSN kepada atlet.

Pada tahun 2019, penyelarasan elaun menyaksikan pemenang pingat pada Sukan Olimpik/Paralimpik akan menerima RM7,500 diikuti atlet yang memenangi pingat di Sukan Asia/Para Asia menerima RM6,000 dan Sukan Komanwel RM3,500 dan Sukan SEA/Para Asean pula RM2,500.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi turut memaklumkan bahawa MSN telah mengenal pasti 248 atlet biasa dan 45 atlet para yang tersenarai dalam program latihan tahun ini, manakala program pelapis menyaksikan 178 atlet biasa dan 22 atlet para.

Katanya, atlet yang tidak tersenarai dalam program latihan perlu menerima hakikat bahawa peluang perlu diberikan kepada atlet lain yang menampilkan prestasi lebih baik daripada mereka. -Bernama


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: